Ideologi atau dasar-dasar pemikiran Hizbut Tahrir telah dijelaskan dalam Perlembagaan Dasar Hizbut Tahrir yang mengandungi 187 fasal. Secara ringkasnya, ideologi dan dasar-dasar pemikiran Hizbut Tahrir yang berselindung di sebalik perjuangan agama untuk mempengaruhi masyarakat diringkaskan seperti berikut:-
- Hizbut Tahrir mendakwa berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam (isti’naf al-hayah al-Islamiyyah), memikul dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia dan memimpin serta mengawal pemikiran dan perasaan masyarakat dengan cara mengambil alih kekuasaan dan pemerintahan negara-negara dan bangsa-bangsa di dunia ini. Menurut Hizbut Tahrir, semua sistem yang digunakan oleh pemerintah hari ini dibangunkan atas sistem kufur demokrasi dan sekular yang tidak Islam.
- Hizbut Tahrir mendakwa berjuang untuk mewujudkan kembali khalifah Islam yang dikatakan dapat menyelamatkan umat ini daripada penderitaan dan kesengsaraan, menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia, mengisytiharkan jihad ke atas musuh-musuh Islam dan menghancurkan segala kezaliman. Menurut Hizbut Tahrir, sekarang ini masih belum wujud negara Islam dan perjuangan menegakkan Khalifah Islam adalah wajib.
- Mengikut Hizbut Tahrir, perjuangan untuk menegakkan kembali Islam dan Khalifah hanyalah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW tanpa mengambil jalan-jalan yang lain. Jalan tersebut adalah membentuk jemaah, mempersiapkan anggota jemaah dengan ilmu dan pengamalan Islam supaya mereka boleh terjun ke masyarakat untuk menggerakkan masyarakat memahami dan mengamalkan Islam serta akhirnya mengambil alih kekuasaan untuk membentuk negara Islam melalui gerakan masyarakat itu sendiri (secara gerakan revolusi).
- Umat Islam tidak boleh mengambil sistem atau fahaman-fahaman yang lain dalam mengamalkan kehidupan mereka. Begitu juga dalam pemerintahan negara mestilah menggunakan sistem-sistem Islam dan berpandukan al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW. Oleh itu, Hizbut Tahrir menganggap semua sistem yang wujud sekarang ini seperti sistem bank, sistem pendidikan, sistem politik, sistem perundangan, sistem masyarakat dan sebagainya adalah sistem-sistem yang dicemari oleh ideologi dan fahaman-fahaman Barat dan yang tidak Islami. Menyokong sistem yang dibangunkan oleh pemerintah sekarang ini berdasarkan sistem kufur demokrasi samalah menyokong pemerintahan kafir yang haram hukumnya.
- Orang-orang Islam mesti menolak semua bentuk kerajaan hari ini yang diperkenalkan oleh Barat termasuk sistem demokrasi itu sendiri. Sistem pilihanraya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang kufur. Barangsiapa yang terlibat dengan sistem demokrasi maka mereka adalah berdosa dan juga bersyubahat dengan sistem kufur.
- Dalam proses terakhir untuk mengujudkan khalifah Islam dalam sesebuah negara, Hizbut Tahrir mensyaratkan wajib umat Islam untuk meminta pertolongan (nusrah) daripada mana-mana kuasa yang kuat samada Islam mahupun bukan Islam asalkan mereka sudi membantu umat Islam untuk mewujudkan khalifah Islam.
Daripada dasar pemikiran atau ideologi Hizbut Tahrir yang dijelaskan di atas, jelas ia adalah ideologi yang mempromosi keganasan seperti kumpulan militan Islam lain, meskipun pihak Hizbut Tahrir mengatakan mereka bukan berjuang untuk melakukan tindakan keganasan dan tidak menyokong keganasan. Namun, dengan menyemai ideologi tersebut, ia akan meracuni pemikiran rakyat supaya bangkit menentang kerajaan yang dianggap kerajaan ‘thaghut’ (kafir) kerana menggunakan sistem demokrasi Barat dan sistem piliharaya dalam pemerintahan negara. Sedangkan keharusan menggunakan sistem demokrasi dan sistem pilihanraya telah dibincangkan secara panjang lebar oleh ulama-ulama terkemuka dunia sebelum ini. Oleh itu, ideologi Hizbut Tahrir sebenarnya tidak ada bezanya dengan ideologi kumpulan militan yang mengajak rakyat memerangi pemerintah yang dianggap ‘thaghut’ dan kufur dan menyusun gerakan untuk menumbangkan kerajaan.
Sumber: Berita Tentera Darat Malaysia, 16 MAC 2021