Bak kata pepatah, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Itulah yang sering diungkapkan oleh orang dulu-dulu dalam mengajar anak-anak mereka bagaimana adabnya dalam menutur kata agar tidak keterlaluan. Hal yang sama boleh diimplikasikan di dalam ajaran Islam bagaimana kita sebagai umat Islam perlu menjaga adab dalam bertutur kata agar tidak melukakan hati orang lain. Dari Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:
“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata baik atau lebih baik diam (jika tidak mampu berkata baik).” (HR Bukhari dan Muslim).
Ini samalah halnya dalam setiap ucapan atau tulisan di media sosial yang ditularkan dalam musim musibah banjir sekarang ini. Terdapat individu yang menulis di media sosial dengan mengatakan bahawa punca musibah banjir yang melanda negara ini adalah disebabkan arahan pihak kerajaan yang memerintahkan solat di masjid perlu dilaksanakan dalam berjarak, tidak di dalam saf yang rapat seperti yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
Hakikatnya, tuduhan itu adalah suatu perkara yang tidak benar. Bahkan ada yang menulis bahawa Allah SWT menurunkan bencana besar adalah kerana dua sebab iaitu pertamanya adalah kerana ramai orang yang melakukan maksiat dan benda haram termasuk berjudi secara terang-terangan. Yang kedua adalah kerana orang yang sepatutnya mencegah dan menegur tetapi mereka berdiam maka Allah SWT menurunkan azab seperti ini. Jadi itulah punca sebenar Allah turunkan azab di negara ini. Bila Allah turunkan azab, maka orang yang jahat ditimpa azab dan orang yang beriman pun turut terkena azab atau bencana yang sama. Ia seolah-olah mengatakan merekalah (orang yang buat maksiat tersebut) menjadi punca segala bencana ini berlaku. Sedangkan tidak ada pihak yang mencegah kemungkaran tersebut sehingga Allah menurunkan bala bencana banjir baru-baru ini.
Dalam hal ini, kita seharusnya merasa insaf akan musibah yang menimpa dan bukannya menambahkan luka ke dalam perasaan mangsa-mangsa banjir dengan menaburkan kata-kata menghina, menuduh dan menyalahkan pihak-pihak tertentu. Kita sepatutnya tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman dan menunding jari mencari salah siapa atau membuat tuduhan sesuka hati sehingga menimbulkan kekeliruan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.
Musibah yang diturunkan adalah kerja Allah SWT dan Allah SWT turunkan setiap musibah semestinya ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin musibah diturunkan sebagai satu bentuk teguran Allah agar kita kembali kepadaNya. Janganlah kita mengambil alih kerja Allah SWT dengan meramal punca-punca musibah sewenang-wenangnya atau membuat tuduhan bahawa punca musibah disebabkan keburukan pihak-pihak tertentu. Takutlah kepada Allah SWT dan Jagalah lisan kita agar tidak terus-menerus mendatangkan murka Allah SWT. Ingat, Allah SWT sangat murka dengan hambaNya yang tidak menjaga tutur kata hingga boleh merosakkan sesebuah perhubungan dan ukhwah antara sesama Islam. Berjaga-jagalah, kerana mulut yang tidak terkawal boleh sahaja mengundang bala daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Keselamatan manusia tergantung pada kemampuannya menjaga lisan.” (HR Bukhari).
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)