Home Ateis BAHAYA ATEIS YANG SYIRIK LAGI SESAT!!! MENOLAK KEWUJUDAN TUHAN, INGIN HIDUP BEBAS...

BAHAYA ATEIS YANG SYIRIK LAGI SESAT!!! MENOLAK KEWUJUDAN TUHAN, INGIN HIDUP BEBAS TANPA IKATAN SYARIAT DAN BERTUHANKAN AKAL SERTA HAWA NAFSU

736
0

Asakan pelbagai ideologi barat telah berjaya meresap sehingga mempengaruhi cara berfikir umat Islam masa kini. Lebih membimbangkan, terdapat kalangan umat Islam yang bukan sahaja terpengaruh dengan pemikiran songsang tersebut, bahkan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan dan menyebarkan kepada orang lain.

Antara yang membimbangkan ialah penglibatan anak-anak muda remaja mahupun peningkatan angka dalam kumpulan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan atau disebut sebagai ateis. Ateisme terbina atas asas kebencian dan kebebasan sepenuhnya daripada agama. Ada yang menolak kewujudan Tuhan, ada yang menolak agama dan ada yang menolak pengetahuan tentang Tuhan dan kewujudanNya.

Golongan ateis terbahagi kepada dua iaitu New Atheist dan pragmatis. New Atheist merujuk kepada kelompok penulis buku abad ke-21 yang mempromosikan ateisme menggunakan sains dan teknologi termasuklah persoalan-persoalan berkenaan kewujudan Tuhan. Disebabkan sains dan teknologi tidak dapat membuktikan maka disimpulkan Tuhan itu tidak wujud.

Ateis pragmatis pula adalah kelompok yang akan tetap menjalankan ritual keagamaannya meskipun mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Menurut mereka, alam semesta dan kehidupan boleh berfungsi tanpa Tuhan. Namun mereka tidak menganggap agama sebagai sesuatu yang harus dimusuhi, sebaliknya agama harus didekati dan dimanfaatkan.

Hakikatnya fahaman ateis tidak kira golongan yang mana adalah tergolong sebagai salah satu bentuk kesyirikan. Disebalik penolakan terhadap kewujudan Tuhan, golongan ateis telah memberikan sifat-sifat ketuhanan kepada alam. Akhirnya mereka menyembah dan mengabdikan diri kepada hawa nafsu semata-mata. Allah berfirman dalam Surah al-Furqan, ayat 43, bermaksud:
“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawal yang menjaganya jangan sesat?”

Demikianlah yang terjadi apabila kekosongan jiwa dan hati manusia tidak diisi dengan kepercayaan dan keimanan kepada Allah SWT. Maka hiduplah manusia bertuhankan akal dan hawa nafsu yang akan memusnahkan seluruh hidupnya.

Sumber: Teks Khutbah, “Bahaya Ateis”, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus, 3 Nov. 2017