Home Ajaran Sesat IMAM MAHDI MUNCUL DI SABAH? SERUAN SUPAYA BERSIAP MENJADI TENTERA MAHDI KEMBALI...

IMAM MAHDI MUNCUL DI SABAH? SERUAN SUPAYA BERSIAP MENJADI TENTERA MAHDI KEMBALI TULAR DI MEDIA SOSIAL JANGAN PERCAYA BERITA TAHYUL DAN SESAT INI!!!

844
0

Pada hujung tahun 2021 sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan kisah Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) seorang wanita bernama Sittah an-Nur dengan mendakwa Imam Mahdi akan muncul di Sabah dan umat Islam semua digesa untuk membuat persediaan mengumpulkan senjata untuk berjihad bersama Khalifatullah tersebut. Tapi berikutan pengakuan Sittah An-Nur tentang kesesatan dirinya dan bertaubat kepada Allah SWT dalam majlis yang diadakan di Masjid Shah Alam, Selangor pada penghujung tahun lepas juga, berita tentang kemunculan Imam Mahdi dan persiapan untuk menjadi tentera Mahdi tersebut telah lenyap seketika.

Namun, baru saja masuk Januari 2022, Malaysia digemparkan sekali lagi dengan kisah kemunculan Imam Mahdi di Sabah yang diwarwarkan melalui saluran penstriman langsung Facebook milik seorang pemuda yang dipercayai berasal dari Kuala Kangsar. Pemuda tersebut turut mencanangkan bahawa perhimpunan ulama seramai lebih kurang 300 orang akan berlaku di Sabah bagi menyaksikan kemunculan Imam Mahdi seterusnya akan bersama-sama mengangkat senjata bagi menjalani misi jihad.

Kisah berkenaan Imam Mahdi yang dijaja sana-sini dengan fakta yang tidak benar bersandarkan hadis-hadis dilihat boleh mempengaruhi orang Islam terutamanya yang jahil ilmu agama untuk mempercayai berita tahyul dan ajaran sesat yang ditularkan tersebut.

Perkhabaran tentang Imam Mahdi yang akan muncul ini sentiasa beredar dalam masyarakat, namun ia berlaku secara ‘tenggelam timbul’. Malah lebih teruk lagi sehinggakan ada individu yang mendakwa dirinya adalah al-Mahdi. Hal ini berlaku sejak dahulu lagi seperti berlaku di zaman Daulah Fathimiyah di mana pengasasnya, Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah mengangkat dirinya sebagai Imam Mahdi akhir zaman. Pengikutnya mempercayainya sebagai Imam Mahdi akhir zaman disebabkan ketaksuban melampau pengikutnya terhadap beliau.

Hal ini juga berlaku di kalangan pengikut Syiah yang meyakini bahawa Imam Mahdi sekarang sudah menjelma di kalangan Imam mereka yang dighaibkan oleh Allah SWT sebelum ini dan menunggu masa saja untuk menunjukkan dirinya. Malah di kalangan penganut ajaran sesat lain di seluruh dunia termasuk di negara kita, pengkhabaran kemunculan Imam Mahdi dan ada yang mengaku Imam Mahdi muncul silih berganti hampir setiap tahun.

Sedangkan mengikut hadis-hadis yang sahih, Imam Mahdi yang sebenar adalah manusia yang akan muncul di akhir zaman yang berperanan membawa keadilan Islam dan memerangi kemungkaran sehingga terwujudnya semula pemerintahan Islam untuk seluruh dunia ini adalah mempunyai kriteria yang khusus sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:
“Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku” (HR al-Tarmizi).

“Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun” (HR Abu Daud).

Berdasarkan perbahasan ulama, terdapat tanda yang terdapat pada Imam Al-Mahdi antaranya, di bahagian bahu beliau terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi SAW. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa AS dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya. Pada ketika itu, penduduk bumi akan merasa cukup aman pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar. Keistimewaan beliau juga iaitu apabila menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Sementara sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS adalah seperti berikut:

  1. Beliau adalah seorang anak Adam.
  2. Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  3. Kedua-dua matanya bercelak.
  4. Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  5. Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
  6. Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  7. Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  8. Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.

Kesimpulannya, janganlah mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan karut golongan yang sesat. Terapkan ilmu dalam diri, perbanyakkan kajian, sertailah alim ulama, barulah kita dapat menilai mana benar mana salah. Berhati-hatilah kerana akidah yang terpesong menyebabkan kita sesat selamanya dari ajaran Islam yang sebenar.

Sumber: Harian Metro 21 JAN 2022 dan Harian Metro 27 APR 2021.