Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM ADALAH AGAMA KEDAMAIAN, MENGHINDARI PERMUSUHAN DAN MEMBAWA RAHMAT KE SELURUH ALAM...

ISLAM ADALAH AGAMA KEDAMAIAN, MENGHINDARI PERMUSUHAN DAN MEMBAWA RAHMAT KE SELURUH ALAM (RAHMATAN LIL ‘ALAMIN)

763
0

Islam bukan hanya memberikan rahmat kasih sayangnya kepada orang Islam semata-mata, malah musuh juga turut dapat merasakannya. Dalam surah al-Anbiyaa, ayat 107, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

Ayat diatas sudah cukup menggambarkan bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya. Konsep ‘rahmatan lil ‘alamin’ seperti dibincangkan oleh para ulama, bermaksud kasih sayang. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain. sesuai dengan ajaran Islam sebenar yang mengajak manusia untuk mencintai perdamaian, elakkan permusuhan dan perkukuhkan hubungan silaturrahim sesama insan agar dapat mengelakkan daripada berlakunya perpecahan.

Konsep Islam agama kedamaian yang membawa rahmat untuk seluruh alam ini (‘rahmatan lil ‘alamin) bukanlah sesuatu yang baharu. Mesej dakwah dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersifat sejagat dan memberi rahmat untuk seluruh alam. Rasulullah SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

Justeru, Islam ialah agama yang mempromosi kasih sayang kepada semua makhluk Allah SWT dan menjadi tanggung jawab umat Islam sebagai umat terbaik menterjemahkan konsep ‘rahmatan lil alamin’ dalam kehidupan seharian supaya menjadi contoh kepada bukan Islam. Oleh itu, umat Islam perlu menjadi model dalam penghayatan ‘kasih sayang’ melalui konsep ‘rahmatan lil alamin’ agar menjadi dakwah bil hal (dakwah dengan contoh) kepada bangsa dan agama lain.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Harian Metro “Islam rahmat untuk seluruh alam” (11 Oktober 2018)