Home Ateis TERLALU BANYAK BUKTI SAMA ADA SECARA AKAL, SAINS ATAU ‘NAQLI’ TENTANG KEWUJUDAN...

TERLALU BANYAK BUKTI SAMA ADA SECARA AKAL, SAINS ATAU ‘NAQLI’ TENTANG KEWUJUDAN ALLAH – APA LAGI HUJAH ATEIS UNTUK MENOLAKNYA?

721
0

Menurut Feuerbach, seorang pendeta Protestan, manusia hanya menjadi dirinya sendiri apabila ia meniadakan agama. Manusia harus menolak kepercayaan Tuhan dan membongkar agama agar ia dapat merealisasikan potensi-potensinya. Menurutnya lagi, kepercayaan kepada Tuhan menghalangi kemajuan, pencerahan, kedewasaan dan kebebasan manusia.

Menurut Jean-Paul Sarte, manusia bebas secara mutlak dan manusia menentukan keperibadiannya atau nilainya tersendiri. Manusia sendiri memilih nilai-nilai hidup sebagai faktor perkembangan peribadinya. Oleh kerana itu, tidak mungkin wujudnya Tuhan kerana manusia boleh ‘berdiri dengan sendiri’.

Pandangan para pengikut ateisme ini seharusnya disangkal kerana ia amat menyesatkan. Jika mengatakan kewujudan Tuhan itu tidak masuk akal, maka cuba nilai analogi ini:
Pada suatu hari, Ali ditegur oleh seorang lelaki misteri yang berkata: “Boleh saya beritahu kamu sesuatu? Apa sahaja yang berlaku pada masa silam kamu sehinggalah pada hari kamu dilahirkan, adalah tidak wujud. Itu hanyalah ilusi dalam kepala kamu. Soalan saya, adakah kamu percaya bahawa masa silam itu wujud? Ali tidak mempercayai kata-kata lelaki itu dan membalas: “Apa bukti yang kamu ada mengatakan bahawa masa silam itu tidak wujud?”

Ahmad turut menerima soalan yang sama dan menghabiskan masa lebih dua jam berdialog dengan lelaki misteri berkenaan bagi membuktikan bahawa masa silamnya itu wujud. Jika dinilai daripada jawapan Ali dan Ahmad, maka respon Ali adalah lebih tepat. Ali seperti kita juga yang secara logiknya mempercayai bahawa masa silam adalah satu kebenaran yang muncul dalam diri sendiri (self-evident truth). Oleh itu, orang yang mempertikaikannya perlu mendatangkan bukti sebaliknya.

Kita tukarkan watak di atas menjadi Muslim dan Ateis. Sekiranya tiada hujah yang menolak kewujudan Allah, maka pendirian yang rasional adalah mempercayai adanya Allah. Mengapa persoalan kewujudan Allah menjadi soalan utama? Ia tidak sewajarnya disoal “Adakah Tuhan wujud?” Sewajarnya soalan yang tepat adalah “Apa hujah yang ada untuk menolak kewujudanNya?” Oleh itu, dapat dinilai daripada perspektif ini bahawa ateisme adalah tidak bersifat tabii.

Sumber: Bayyan Linnas Siri ke-107, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jurnal Ilmiah Akuntansi, Universitas Raden Fatah – DIS 2017