Kehidupan di dunia yang sementara ini sememangnya penuh dengan ujian. Setiap orang pasti merasai ujian dalam kehidupan masing-masing. Orang kaya ada ujiannya, begitu juga dengan orang miskin. Orang bijak pandai juga berdepan ujian, tidak ketinggalan orang yang tidak memiliki sebarang kelulusan pendidikan. Hakikatnya, ujian dalam kehidupan mendewasakan perjalanan hidup. Setiap ujian yang dihadapi sebenarnya boleh menjadikan diri seorang insan menjadi lebih kuat dan tabah. Firman Allah SWT:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.” (QS al-Ankabut: 2-3)
Namun, ada di antara kita yang tidak tahan sabar untuk melalui ujian ini. Mereka sering beranggapan bahawa ujian ini terlalu berat dan tidak mampu mereka tangani. Ada juga yang beranggapan ujian daripada Allah SWT adalah bala ke atas kehidupan mereka. Tanggapan mereka sememangnya salah kerana jika tiada ujian dalam kehidupan, dikhuatiri golongan manusia tergolong dalam golongan yang tidak tahu bersyukur dan takbur.
Dalam menghadapi ujian, kesabaran yang tinggi amatlah diperlukan. Apabila melalui ujian dalam kehidupan, selain daripada perlunya bersabar, setiap Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha agar ujian yang dihadapi itu dapat dihadapi dengan tenang. Umat Islam tidak boleh berasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian kehidupan. Jauh sekali untuk menyalahkan takdir Ilahi yang ditetapkan untuknya. Yakinlah bahawa setiap ujian akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya dengan cara terbaik. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya besar pahala itu sesuai dengan besarnya ujian, dan bahawa Allah, apabila menyayangi atau mencintai suatu kaum, maka Allah akan mengujinya, dan bagi siapa saja redha, maka baginya keredhaan dari Allah, dan barangsiapa yang membencinya, maka baginya kebenciaan dari Allah Swt.” (HR. Tirmizi).
Selain sabar dan ikhtiar, tawakal juga amat diperlukan. Barulah hati kita merasa amat tenang apabila berhadapan dengan ujian Allah SWT. Orang yang sabar dan tawakal dalam menempuhi ujian hidup sememangnya orang yang sangat tabah dan kuat. Ini seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW:
“Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Sungguh semua urusannya adalah baik, dan yang demikian itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh orang Mukmin, yaitu jika ia mendapatkan kegembiraan ia bersyukur dan itu suatu kebaikan baginya. Dan jika ia mendapat musibah, ia bersabar dan itu pun suatu kebaikan baginya” (HR. Muslim).
Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah seperti sakit, kesusahan, penderitaan dan sebagainya adalah amat perlu kepada seorang hamba Allah. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang reda terhadap qada’ dan qadar Allah SWT, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi kesakitan, kesusahan, penderitaan yang dialami. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana Allah SWT berfirman:
“Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”. (QS Ali ‘Imran: 146).
Sebagai hamba Allah yang beriman, kita juga hendaklah bersabar dan tabah menghadapi segala ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah qada’ dan qadar Allah SWT kepada hamba-hambaNya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Ketahuilah Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan memberikan pahala yang besar kepada orang-orang bersabar menerima ujian-Nya seperti firman Allah SWT:
“…..Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS Az-Zumar:10).
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)