Kesyirikan bagi umat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah menyerahkan ibadah kepada selain Allah. Namun, menurut ‘ulama besar’ Syiah, Al-Khomeini, kesyirikan hanyalah jika seseorang meyakini adanya Tuhan selain Allah. Umpamanya, jika seseorang itu sujud dan berdoa kepada makhluk tanpa disertai keyakinan bahawa makhluk tersebut adalah Tuhan, maka ianya bukanlah satu perkara yang syirik.
Oleh itu, dalam kitab karya Al-Khomeini, Kasyf al-Asrar, menyatakan bahawa meminta kepada mayat dan batu bukanlah kesyirikan. Menurutnya lagi, ruh seseorang setelah mati semakin hebat dan diberi kekuatan oleh Allah dan semakin tinggi kedudukannya lebih-lebih lagi ruh para nabi dan ruh para imam suci yang telah dianugerahkan qudrah (kemampuan dan kekuatan) oleh Allah.
Lihatlah bagaimana terpesongnya akidah dan pemikiran yang ditetapkan oleh Al-Khomeini kepada pengikut Syiahnya sehingga mempercayai dan membolehkan meminta bantuan kepada mayat. Oleh sebab itu, makam-makam para ‘ulama’ Syiah dijaga dengan rapi, diletakkan di tempat yang ‘mulia’, dihiasi sebaiknya supaya pengikut ajaran sesat ini boleh membuat ritual pujaan dengan harapan mayat-mayat para ‘ulama’ nya dapat mengabulkan doa yang dihajati.
Sedangkan mengikut ASWJ, meminta pertolongan kepada mana-mana orang yang telah mati adalah jelas perbuatan syirik. Tiada mana-mana dalil atau hadis yang menyuruh untuk meminta doa selain kepada Allah, hanya al-Khomeini dan pengikutnya yang jelas kesyirikannya menyandarkan perbuatan tersebut kepada keyakinan kaum ahli falsafah Yunani yang tidak beragama, bukan Yahudi dan juga bukan Nashara.
Justeru itu, mempelajari ilmu tentang asas agama mengikut fahaman ASWJ adalah sangat perlu supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali bahawa sesuatu perkara itu adalah sesat atau tidak. Selain itu, mempelajari ilmu agama yang benar mengikut fahaman ASWJ sangat perlu untuk menghindari daripada terpengaruh dengan ajaran sesat yang disebarkan oleh kumpulan Syiah dengan pelbagai strategi untuk menyesatkan umat Islam di negara ini. Oleh itu, adalah sangat releven Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri-Negeri di Malaysia memutuskan untuk tidak mengiktiraf fahaman Syiah kerana bukan sahaja akidahnya yang jelas terpesong, malah ia mampu mewujudkan pecah belah dalam kalangan umat Islam sendiri. Malah kewujudan golongan Syiah yang semakin berkembang dan semakin agresif untuk melebarkan pengaruh ajaran sesat mereka di negara ini juga boleh menggangu gugat keselamatan negara.
Sumber: Buku Sejarah Berdarah Sekte Syi’ah – Membongkar Koleksi Dusta Syaikh Idahram, Firanda Andirja Abidin (2013)