Islam adalah agama yang penuh keadilan dan jauh dari kezaliman. Oleh karena itu Islam juga memerintahkan untuk berbuat adil dan melarang berbuat zalim. Allah amat melarang daripada perbuatan menzalimi orang lain seperti FirmanNya yang bermaksud:
“Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorangpun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafa’at yang diterima syafa’atnya” (QS. Ghafir: 18).
Sementara Rasulullah SAW juga bersabda:
“Allah Tabaaraka wa ta’ala berfirman: ‘wahai hambaku, sesungguhnya aku haramkan kezaliman atas Diriku, dan aku haramkan juga kezaliman bagi kalian, maka janganlah saling berbuat zalim’” (HR. Muslim no. 2577).
Perbuatan zalim yang berlaku dalam masyarakat kita ini boleh kita rujuk dalam isu penderaan ke atas kanak-kanak berusia 13 tahun, Bella oleh salah seorang wanita yang juga ‘penjaga’ di rumah kebajikan tempat beliau ditempatkan. Kes ini memang di luar batas kemaknusiaan sehingga mengundang amarah dan sedih terhadap rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti kronologi kes tersebut sehingga ke hari ini. Manakan tidak, penderaan yang boleh dikatakan sangat kejam dan di luar norma kemanusiaan itu meruntun hati kepada sesiapa yang melihatnya. Apatah lagi ia berlaku kepada seorang kanak-kanak ‘down syndrome’ yang tidak tahu erti sebenar hidup di dunia ini.
Mengapa perlunya ada kekejaman seperti ini? Bukankah dalam agama Islam telah diajarkan kepada kita agar tidak berlaku zalim terhadap sesama manusia. Bukan sahaja manusia malah kepada semua makhluk Allah SWT yang hidup di bumi ini. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” (QS Ibrahim: 42).
Allah SWT sebenarnya sangat mengambil perhatian terhadap perbuatan zalim. Ini kerana, sekiranya perbuatan zalim atau penganiayaan tidak dibendung ia akan menyebabkan kerosakan kepada muka bumi ini. Lebih-lebih lagi, perbuatan zalim itu berkait rapat dengan manusia hingga hampir mengakibatkan kehilangan nyawa seperti kes Bella ini. Impaknya, bukan sahaja Allah SWT murka terhadap si pelaku, malah satu negara mungkin akan mendapat kafarahnya kerana tidak mempedulikan isu yang sensitif ini. Mahukah kita mendapat kafarah tersebut? Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang berbuat zalim kepada saudaranya, baik terhadap kehormatannya maupun sesuatu yang lainnya, maka hendaklah ia meminta kehalalannya darinya hari ini juga sebelum dinar dan dirham tidak lagi ada. Jika dia beramal soleh, maka amalannya itu akan diambil sesuai dengan kadar kezaliman yang dilakukannya. Dan jika ia tidak punya kebaikan, maka keburukan orang yang ia zalimi itu dibebankan kepadanya.” (HR Bukhari).
Seperkara yang perlu diketahui ialah, orang yang dizalimi meskipun lazimnya di kalangan mereka yang lemah dan tidak berdaya, tetapi penzaliman yang diterima mereka akan menyebabkan Allah SWT membuka hijab di antaraNya dengan hamba tersebut. Apabila hijab telah terbuka, maka ia merupakan senjata yang sangat berkesan untuk memulangkan semula kezaliman tersebut kepada pelakunya. Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.
Ingatlah, jangan sesekali menjadi seorang yang zalim dan berbuat kezaliman terhadap saudara sesama Islam mahupun terhadap manusia lainnya. Perbuatan zalim merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah SWT boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut meskipun masih berada di dunia. Sekalipun dia terlepas semasa berada di dunia, tetapi pembalasan yang sebenar tetap menantinya ketika dia berada di akhirat kelak. Orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Bahkan, sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)