Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH MUSLIM YANG UTAMA YANG MEMILIKI AKHLAK MULIA DENGAN MENJAGA LISAN DAN...

JADILAH MUSLIM YANG UTAMA YANG MEMILIKI AKHLAK MULIA DENGAN MENJAGA LISAN DAN PERBUATAN SERTA TIDAK MENYAKITI ORANG LAIN

634
0

Daripada Abu Musa RA berkata: “Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?” Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya.” (HR Bukhari).

Pernah atau tidak kita terfikir bahawa kita sangat beruntung menjadi seorang Muslim sejak dari lahir? Ini kerana dari kecil kita sudah diajar dengan ajaran agama yang sebenar hingga kita dapat menerapkannya di dalam amalan harian kita. Amatlah rugi jika kita dilahirkan sebagai Islam tetapi tidak memiliki keperibadian tersebut. Ada di antara kita masih leka dengan kehidupan duniawi dan ada sebahagian daripada kita sudah mula berusaha mencari ‘jalan pulang’ untuk merubah diri ke arah kebaikan kerana sedar walaupun hidup senang dan berharta, tetapi tidak rasa bahagia kerana tidak pernah menunaikan solat dan melakukan amal kebaikan.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia. Individu yang paling utama di sisi Allah SWT adalah mereka yang sentiasa dirasai kebaikannya serta tidak menyakiti dan memudaratkan orang lain yang berada di sekelilingnya sama ada melalui lisan mahupun perbuatannya. Ramai orang berpesan bahawa jika seseorang berniat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, mulakanlah dengan menunaikan dan memperbaiki solat, menjaga lisan dan tangannya. Perkara tersebut selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Beruntunglah kita yang dilahirkan sebagai seorang Muslim kerana apabila kita melakukan walau sekecil manapun ibadah, Allah SWT tetap mengurniakan ganjaran yang besar tidak seperti usaha Rasulullah SAW dan para sahabatnya mengharungi liku-liku ujian berdakwah hanya semata ingin menggapai redha Ilahi. Kita sangat bertuah kerana tidak perlu melalui jerit payah dalam menyebarkan dakwah seperti di zaman para Anbiya dahulu demi menjadi Muslim yang utama di mata Allah SWT, jadi apalah kiranya kalau kita beribadah lebih sedikit untuk kekal menjadi Muslim yang unggul dan utama? Sabda Rasulullah SAW:

“Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” (HR Muslim)

Jagalah amalan, lisan dan perbuatan kita demi menggapai redha Allah SWT dalam usaha menjadi Muslim yang utama. Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan kekuatan untuk memelihara ibadah dan amalan kita agar menjadi asbab kepada kebaikan kita di dunia dan akhirat.

Sumber: Harian Metro (27 November 2021)