Menjadi seorang Muslim yang baik tidaklah terlalu susah. Namun, untuk mengekalkan amalan itu kita perlulah menjadi istiqamah. Tanda – tanda bagi peribadi seorang Muslim ialah tidak melakukan pekerjaan-pekerjaan yang tidak berfaedah. Ia tidak bersama-sama dalam kumpulan yang tidak bermanfaat jika berada di tempat orang ramai, ia tidak banyak bercakap dalam perkara yang tidak keruan.
Begitu juga seorang Muslim yang mempunyai keperibadian yang mulia, ia tidak suka masuk campur dalam perbualan dua orang yang tiada kaitan dengan dirinya. Rasulullah SAW bersabda:
“Di antara kebaikan Islam seorang adalah sedikit percakapan yang tidak berfaedah baginya.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Antara keperibadian seorang Muslim yang baik adalah memberi makan kepada orang lain sama ada yang dikenali ataupun tidak, dan juga memberi salam kepada mereka. Daripada Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW; “Islam manakah yang paling baik?” Nabi SAW menjawab:
“Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. (Sahih Bukhari).
Allah SWT memuji hamba-hambanya yang pengasih dan penyayang iaitu mereka yang memiliki berbagai ciri keperibadian Islam di antaranya ia tidak terlibat perkara sia-sia dan tidak berbual-bual dalam perkara yang tidak bermanfaat. Firman Allah SWT:
“Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.” (QS Al Maidah: 2).
Kesimpulannya, untuk mendapatkan keperibadian seorang Muslim yang baik itu ia haruslah mempunyai perkataan yang konsisten kerana seorang Muslim itu seharusnya bersikap dengan sungguh-sungguh, tidak mudah dibawa arus. Jadilah Muslim yang baik demi menggapai redha Illahi.
Sumber: Harakah Daily (23 Mac 2021)