Heboh di segenap penjuru media sosial tentang sebuah video amaran kepada rakyat Malaysia agar bersiap sedia dengan kedatangan sebuah peristiwa pada 13 September 2023 iaitu bersamaan 27 Safar 1445 Hijriah. Di dalam video tersebut turut memetik tentang sebuah buku pengajian dari Indonesia iaitu kitab kanzun najah was surur yang menyatakan Allah SWT akan menurunkan 320,000 bala dan penyakit ke bumi. Perkara itu telah dikongsikan oleh orang ramai di laman sosial mereka sehingga menimbulkan kekacauan dan perdebatan mengenai perkara tersebut.
Apa yang perlu kita ketahui bahawa ini adalah satu ramalan yang tidak tepat dan sudah jatuh hukum syirik serta haram dalam Islam jika kita mempercayainya. Rasulullah SAW melarang umatnya mempercayai amalan kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar, akan berlaku perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang Melayu dahulu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Bukankah sudah diperingatkan kepada kita agar sentiasa bertabayyun dalam menerima sesuatu berita? Bahkan Allah SWT terlah berfirman di dalam surah al – Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Lihat di dalam ayat di atas, Allah SWT menyatakan “Wahai orang-orang yang beriman!” yang merujuk kepada kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah SWT. Jika kita mengaku bahawa kita ini beriman kepada Allah SWT, mengapa kita masih mempercayai dengan kepercayaan syirik lagi menyesatkan ini? Dalam kita mengaku beriman kepada Allah SWT, akan tetapi sebaliknya kita mempercayai kepercayaan syirik lalu menularkannya kepada tatapan umum, tidakkah kita merasa diri itu munafik?
Berhati – hatilah dalam mempercayai sesuatu yang tidak diketahui sumber kesahihannya. Jangan kerana yang menyampaikan itu kelihatan seperti alim ulama dan berilmu, maka kita menerima secara bulat kata – kata mereka. Tiada suatu manfaat mahupun mudarat melainkan ianya telah ditentukan Allah. Ingatlah Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) tiada sesuatu pun akan menimpa kami melainkan dengan ketentuan Allah. Dialah penolong kami, maka hendaklah orang yang beriman itu bertawakal kepada Allah.” (QS At – Taubah: 51).
Sumber: Portal MyWilayah.com (https://www.mywilayah.com/2020/09/tiada-bencana-bulan-safar.html?m=1)