Home Ateis BAGAIMANA MENYANGKAL KEYAKINAN ATEIS TENTANG KETIDAKWUJUDAN ALLAH? KISAH NABI IBRAHIM SEBAGAI TIPS...

BAGAIMANA MENYANGKAL KEYAKINAN ATEIS TENTANG KETIDAKWUJUDAN ALLAH? KISAH NABI IBRAHIM SEBAGAI TIPS PENTING UNTUK MENYANGKAL HUJAH ATEIS

86
0

Nabi Ibrahim a.s lahir di Kota Ur, di kawasan Babilonia, sebelah selatan Mesopotamia yang ketika ini lebih dikenali dengan Negara Iraq dan berada di bawah kekuasaan Raja Namrud. Semasa zaman kecilnya, Nabi Ibrahim telah menyaksikan masyarakat tempatan mempunyai tiga kepercayaan yang mana semuanya menyembah Tuhan selain Allah iaitu menyembah patung, menyembah langit dan menyembah penguasa.

Ayah Nabi Ibrahim iaitu Aazar merupakan seorang pengukir yang mengukir patung untuk disembah sebagai Tuhan oleh masyarakat tempatan. Ketika remaja, Nabi Ibrahim ditugaskan oleh ayahnya untuk meniagakan patung-patung yang diukir olehnya di pasar. Sampai satu ketika, Nabi Ibrahim berasa sangat jengkel dengan amalan ibadat masyarakat tempatan yang menyembah patung buatan ayahnya sehingga Baginda membuat protes dan mengatakan bahawa “kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata” sepertimana yang dirakamkan dalam Surah al-An’am ayat 74.

Bermula saat itu, Nabi Ibrahim mula menyendiri dan berfikir siapakah sebenarnya Tuhan yang harus disembahnya. Di satu sisi Baginda tidak mahu bertuhankan kepada Tuhan masyarakat Mesopotamia yang beragama pagan dan pada sisi yang lain Baginda belum menemui Allah sebagai Tuhannya. Sehingga Raja Namrud yang mendengar perkhabaran mengenai Nabi Ibrahim yang mampu mengancam kedudukannya, lalu beliau mengajak Baginda untuk beradu logik akal.

Pada hari perdebatan yang berlaku antara Nabi Ibrahim dan Raja Namrud, Nabi Ibrahim pun menyatakan bahawa: “Tuhan ku adalah yang menghidupkan dan yang mematikan (yang memberi dan mengambil semula nyawa)”.
Lalu Raja Namrud menjawab dengan sombong:
“Aku boleh membunuh manusia dan membebaskannya juga”.
Kemudian balas Nabi Ibrahim:
“Tuhan yang aku sembah boleh menerbitkan matahari dari ufuk timur ke ufuk barat. Bolehkah kamu melakukan seperti itu?

Mendengar hal itu, Raja Namrud terdiam kerana dia tahu bahawa tiada manusia yang berkuasa seperti itu. Perbahasan antara Nabi Ibrahim dan Raja Namrud ini dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Baqarah ayat 258.

Apa yang ingin disampaikan melalui kisah ini ialah logik akal adalah sekadar alat untuk memahami substansi permasalahan. Begitu juga dengan rasional, ianya adalah sekadar alat untuk memahami sesuatu perkara. Sekiranya sesuatu itu tidak wujud di depan mata atau tidak rasional menurut akal, namun ia tidak bererti sesuatu itu tidak wujud atau tidak rasional. Perlu kita sedari bahawa tidak semua perkara boleh dilandaskan berdasarkan logik akal semata-mata sebab banyak sekali perkara yang terjadi dalam kehidupan ini tidak boleh diselesaikan oleh logik akal.

Contohnya di manakah keberadaan nyawa kita. Bagaimana kejadian alam ini seperti bumi, laut, angin, tumbuh-tumbuhan, hujan, matahari dan cakerawala yang lain yang mempunyai sistem peredaran dan pertumbuhan masing-masing yang sangat unik. Begitu juga kedudukan organ dalam tubuh badan kita yang berfungsi dengan sangat unik dan beredar mengikut aturan yang sungguh unik dan pelik jika kita selami dengan mata hati dan fikiran yang waras.

Apatah lagi dengan kejadian manusia itu sendiri yang berbilion jumlahnya sejak dahulu, namun satu pun tidak sama dari segi rupa dan sifat-sifat lainnya. Semuanya menunjukkan kewujudan Allah Maha Pencipta dan Maha Kuasa, sedangkan akal manusia sangat cetek dan terbatas.

Oleh sebab itu, pucuk pangkalnya sesuatu perkara yang diterima akal atau tidak diterima akal haruslah merujuk kepada al-Quran dan hadis untuk mendapat jawapan yang tepat. Jika kurangnya ilmu seseorang individu itu, maka rujuklah pada para ulama atau para ilmuan Islam yang pakar mengikut bidangnya. Nescaya, segala persoalan Tuhan pasti akan ada jawapannya. Jika anda tidak percaya, carilah mereka supaya anda yakin dengan keraguan-keraguan anda.

Sumber: Jurnal Akidah dan Filsafat, Studi Agama dan Pemikiran Islam- Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta