Kewujudan Tuhan boleh dibuktikan jika akal digunakan dengan sebaiknya. Akal yang waras akan mengatakan bahawa setiap ciptaan pasti ada penciptanya. Analoginya, jika anda mempunyai telefon bimbit, pasti anda meyakini bahawa telefon bimbit itu ada syarikat yang mengeluarkannya. Tidak mungkin telefon bimbit yang begitu canggih teknologinya boleh tercipta dengan sendirinya.
Analogi yang lain, jika seseorang melihat adanya kesan tapak kaki di pepasir pantai, dia pasti meyakini bahawa kesan tapak kaki itu ditinggalkan oleh manusia yang melalui pantai tersebut tidak lama sebelum itu, walaupun dia tidak melihat kejadian tersebut berlaku. Dia pasti tidak percaya jika dikatakan kesan tapak kaki tersebut secara kebetulan terbentuk akibat ombak dari laut. Realitinya dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar, namun kita percaya kewujudannya kerana kita dapat merasai kesan yang ditinggalkannya.
Begitulah antara analogi yang boleh dijadikan sebagai pendekatan untuk berdakwah kepada golongan ateis jika ingin dibahaskan melalui logik akal. Adalah tidak logik jika sesuatu perkara itu terjadi tanpa ada penciptanya. Bukti kejadian alam, kejadian manusia yang setiapnya mempunyai identiti tersendiri (cap jari) biarpun kembar menjadi antara bukti nyata kekuasaan Allah SWT dan kewujudanNya. Justeru itu, carilah ilmu, kajilah al-Quran, bertadabburlah dengan para cendiakawan alim ulama, nescaya hidayah itu pasti akan sampai kepadamu bahawa Allah itu adalah segala Pencipta dan Islam adalah agama yang benar.
Sesungguhnya Allah menempelak mereka yang tidak mempercayai kewujudanNya melalui firmannya dalam Surah at-Thur, ayat 35-36, maksudnya: “Atau apakah mereka tercipta tanpa asal-usul atau apakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Atau apakah mereka yang telah menciptakan langit dan bumi? Sebenarnya mereka tidak yakin dengan apa yang mereka katakana”.
Sumber: IKRAM MALAYSIA