Home Kemanusiaan/Motivasi PERTINGKATKAN KESABARAN DAN KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT KETIKA MENGHADAPI MUSIBAH

PERTINGKATKAN KESABARAN DAN KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT KETIKA MENGHADAPI MUSIBAH

994
0

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara empat bulan yang lalu, rakyat Malaysia terpuruk di dalam situasi yang amat sukar. Apa tidaknya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ibarat ‘penjara’ bagi mereka kerana tidak lagi bebas seperti dahulu. Kegirangan dan kegembiraan apabila bebas keluar ke sana ke sini bagaikan direntap terus dari kehidupan kita.

Sepanjang tempoh ini juga, ada dikalangan kita yang hilang mata pencarian kerana mungkin tidak boleh keluar untuk berniaga atau ada segelintir yang menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif virus berkenaan. Walaupun begitu, dengan kecekapan petugas barisan hadapan, Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan berkesan walaupun tidak 100% sempurna.

Apakan daya, langit tidak selalunya cerah. Gelombang ketiga pandemik ini hadir semula dan meningkatkan kembali jumlah kes. Ini menyebabkan Malaysia ‘berduka’ semula. Sehingga 6 Ogos 2020 sebanyak 15 kes baharu direkodkan dan jumlah kes terkumpul sebanyak 9,038. Ini merupakan dugaan yang amat berat bagi kita semua. Namun, adakah kita perlu terus merintih?

Firman Allah SWT:

“Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.” (QS al-Ankabuut: 3)

Justeru, dalam menghadapi ujian yang diturunkan oleh Allah rakyat khususnya umat Islam digesa untuk tidak putus daripada meminta pertolongan daripada Allah SWT tetapi pada masa sama, menjadikan sabar sebagai cara memohon bantuan-Nya terutamanya ketika negara sedang ‘bertempur’ dengan serangan wabak penyakit seperti sekarang.

Pertingkatkan lagi kesabaran dan keimanan kita apabila musibah yang melanda dunia ini belum lagi menemui pengkahirannya lagi. Yakinlah bahawa Allah SWT merupakan sebaik-baik pertolongan kerana ujian ini juga adalah dengan izinNya. Ingat, Allah tidak menguji para hambaNya diluar kemampuan mereka. Pasti di pengakhiran kesulitan, ada sesuatu yang indah menanti terutamanya bagi umat Islam yang sentiasa bersabar dan memelihara iman mereka. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda serta jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” 

Sumber: Berita Harian “Tingkatkan sabar hadapi musibah” (29 Oktober 2018)