Home Kemanusiaan/Motivasi TONJOLKAN TAULADAN KEPIMPINAN YANG BAIK -JANGAN MENJADI SEORANG YANG TERLALU PENTINGKAN DIRI...

TONJOLKAN TAULADAN KEPIMPINAN YANG BAIK -JANGAN MENJADI SEORANG YANG TERLALU PENTINGKAN DIRI SENDIRI

674
0

Dalam konteks kepemimpinan itu perlunya ada sifat tolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri. Pemimpin yang mementingkan diri sendiri itu umpama merosakkan ikatan ukhuwah sesama Muslim dan masyarakat. Perlu diinsafi, Islam menganggap setiap manusia sama ada lelaki mahu pun perempuan secara umumnya seorang pemimpin. Paling minimanya ialah setiap orang pemimpin terhadap dirinya sendiri dan yang paling tinggi sekali ialah tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyat bawahannya. Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap daripada kamu pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap orang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap rakyatnya..” (HR Bukhari).

Jelas daripada maksud hadis tersebut tanggungjawab dan kewajipan terpikul di bahu setiap Muslim berbeza antara satu sama lain bergantung kepada kedudukan dan kuasa kepemimpinan diamanahkan kepadanya. Namun tanggungjawab terbesar ialah seorang pemimpin terhadap rakyatnya. Maka tidak hairanlah Rasulullah pernah memberi peringatan kepada setiap pemimpin tentang tanggungjawab seorang pemimpin yang sebenarnya. Rasulullah bersabda maksudnya:

“Pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin tetapi tidak bersungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka.” (HR Bukhari dan Muslim).

Para pemimpin seharusnya menunjukkan sifat belas ihsan dan juga mengutamakan kebajikan rakyat berbanding diri sendiri. Pemimpin yang baik sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan rakyat dan tidak mengutamakan kepentingan dirinya, keluarganya mahu pun kerabat terdekatnya. Ini seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW:

“Pemimpin sesuatu bangsa pada hakikatnya adalah pelayan bagi bangsa itu.” (HR Abu Na’im & Ibnu Babuwaih).

Justeru, para pemimpin yang dilantik oleh rakyat perlulah sentiasa menunjukkan tauladan kepimpinan yang baik dan tidak sesekali mementingkan diri. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat kerana kepemimpinan dalam Islam bukan sekadar kontrak perjanjian termetri antara pemimpin dengan masyarakat di bawah pimpinannya, tetapi ia ikatan perjanjian suci antaranya dengan Allah dalam menjunjung titah dan perintah Ilahi dan menjauhi dari segala laranganNya.

Sumber: Harian Metro (28 Oktober 2022)