Setiap manusia ingin berjaya dalam hidup, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Namun, ada yang leka dengan dunia, seolah-olah akan hidup 1,000 tahun lagi. Ada juga yang terus meninggalkan dunia dan menumpukan perhatian pada akhirat sahaja. Memang sudah lumrah dunia apabila kita selalu berhadapan masalah ketidakseimbangan dalam menangani kehidupan kita antara dunia dan akhirat.
Biasanya, kita akan terkejar-kejar dan berusaha keras bagi menentukan semua urusan dunia dengan sesama manusia berjalan lancar seperti dirancang. Ada kala semasa proses itu menyebabkan kita lalai perintah Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Hingga kamu masuk kubur.” (QS al-Takathur: 1-2 ).
Beribadah adalah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang sedikit tetapi istiqamah dan berterusan. Perkara tersebut berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah RA yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian berasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit.” (HR Bukhari).
Istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan perintah Allah adalah suatu tuntutan yang digalakkan dalam agama. Oleh itu, umat Islam haruslah berusaha untuk mendapatkan istiqamah dalam beribadah dengan menjadikan solat sebagai teras. Bagi mendapatkan istiqamah dalam beribadah, ia hendaklah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana paksaan. Ibadah juga tidak hanya dilaksanakan kerana musim dan ganjaran tertentu, apatah lagi bagi mendapatkan pujian manusia.
Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar diperteguhkan hati dan dikurniakan sifat istiqamah dalam beribadah dan berjaya menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi. Setiap hari niatkan diri untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Insya-Allah bermula dengan niat baik dan positif, sepanjang hayat akan baik serta positif. Walau di mana berada, jadilah diri sendiri dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain serta persekitaran. Orang yang dapat keseimbangan hidup mempunyai pendirian serta tidak mudah dipengaruhi. Jadilah seperti ikan di laut, tidak masin dagingnya dek masinnya air laut. Janganlah menjadi ikan di darat, masin dagingnya dek direndam air bergaram.
Sumber: Harian Metro (4 September 2016)