Home Kemanusiaan/Motivasi TUNAIKANLAH JANJI YANG DIKOTAKAN KERANA MENUNAIKAN JANJI ITU SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA KETAKWAAN...

TUNAIKANLAH JANJI YANG DIKOTAKAN KERANA MENUNAIKAN JANJI ITU SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA KETAKWAAN SEORANG MUSLIM

1599
0

Umat Islam merupakan umat yang dimuliakan Allah SWT dengan sebab kepatuhan mutlak kepada Allah SWT. Sekiranya seseorang Muslim itu cuai dan mengabaikan janjinya terhadap Allah SWT, maka hilanglah kemuliaan diri bahkan dia tergolong dalam kalangan munafik yang suka membelakangi hak Allah SWT dan manusia. Kalimah janji atau kontrak, akad dan yang seumpamanya, bukanlah sekadar istilah, tetapi ianya sesuatu perkara utama dalam kehidupan manusia. Ianya juga menyangkut secara langsung dengan ikatan sosial serta amalan yang diamalkan oleh semua lapisan manusia dan umat Islam sejak berabad lamanya.

Sifat manusia memang suka menabur janji, tetapi sering pula memungkirinya. Ketahuilah bahawa Allah SWT sangat tidak menyukai dan membenci kepada orang-orang yang suka berkhianat dan tidak menepati janji-janji mereka. Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.”. (QS An – Anfal: 58).

Ingatan ini ditujukan khusus untuk umat Islam, orang-orang beriman dan manusia keseluruhannya. Apabila kita melakukan sebuah janji, maka hendaklah kita berusaha untuk menepatinya, pepatah Melayu ada mengatakan “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Ini adalah satu bukti bahawa janji itu amat penting kepada sesama manusia. Perbuatan menepati janji merupakan akhlak mulia yang sangat dituntut dalam Islam dan menjadi cabaran yang besar kepada umatnya untuk dilaksanakan. Rasulullah SAW turut mengancam perbuatan orang yang mengingkari janji seperti sabdanya yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak menepati janji seorang Muslim, maka dia akan mendapat laknat Allah, Malaikat dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan”. (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, apabila kita mengotakan sesebuah janji maka tunaikanlah dengan secepat yang mungkin agar tidak dituntut hingga ke penghadapan Allah SWT di akhirat kelak. Seorang Muslim yang mengotakan janjinya, dia lah yang mempunyai tanda-tanda ketakwaan.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)