Dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan, Agama Rasmi Persekutuan Malaysia adalah agama Islam, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini, begitu banyak sekali tuntutan-tuntutan daripada badan bukan kerajaan (NGO) terutama sekali dari G25 dan Sister in Islam (SIS) agar rakyat negara ini yang berusia 18 tahun keatas untuk bebas memilih agama kesukaan mereka. Dalam erti kata lain, kebebasan untuk murtad.
Adakah kita sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah ingin berdiam diri saja? Isu murtad ini diibaratkan sebagai virus paling bahaya yang tidak boleh diletakkan sebagai persoalan peribadi dan kepercayaan konflik sahaja. Bahkan, ia menyentuh soal keselamatan di bawah tanggungjawab kerajaan yang mana kealpaan, kecuaian dan sikap sambil lewa dalam memelihara akan menyumbang kelemahan dan kemunduran Islam pada masa akan datang.
Jadi, fahamkan mengapa di zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, Saidina Abu Bakar r.a begitu agresif memerangi golongan tersebut? Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan murtad ini yang merupakan perbuatan keji dan Allah SWT mengancam pelakunya dengan azab yang sangat besar. Seharusnya, sebagai umat Islam dan golongan majoriti yang hidup di dalam negara yang mengutamakan ajaran Islam di hadapan, kita sepatutnya lebih berani menangani gejala ini dan membantu kerajaan serta pejabat-pejabat mufti agar mengesan golongan terbabit dari terus bebas menyebarkan ‘dakyah’ songsang mereka dan terus-menerus menyesatkan umat Islam.
Sebagai umat Islam yang sama-sama bertanggung untuk menjaga kesucian agama Islam dari terus dinodai oleh virus murtad ini, marilah kita bersama dengan pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk bersama membenteng gejala dan pengaruh anasir murtad yang dilihat semakin berkembang di negara ini. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab utama kerana memelihara agama (hifz ad-din) berada di bahagian terpenting berbanding dengan maqasid syariah yang lain. Perlu diingat bahawa ‘virus’ murtad ini terlalu bahaya yang memungkinkan agama Islam dipandang enteng dari segi pelaksanaannya apabila gejala ini tidak ditangani dengan betul. Hal ini perlu dipandang secara serius oleh semua umat Islam di negara ini demi memelihara kesucian Islam dan menjamin keselamatan negara terus terjaga.
Sumber: Sinar Harian “Murtad virus paling bahaya” (7 April 2020)