Antara salah satu prinsip dalam maqasid syariah adalah Ta`awun. Menurut istilah dalam ilmu aqidah dan akhlak, pengertian ta’awun adalah sifat tolong menolong di antara sesama manusia dalam hal kebaikan dan takwa. Dalam ajaran islam, sifat ta’awun ini sangat menitikberatkan hanya dalam kebaikan dan takwa, dan tidak ada tolong menolong dalam hal dosa dan pelanggaran atau keburukan. Di antara ciri keperibadian Islam ialah suka tolong menolong sesama insan atas landasan kebajikan dan ketakwaan. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah al – Ma’idah ayat 2 yang bermaksud:
“Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.”
Sebagai manusia yang tidak mampu hidup tanpa yang lain, konsep tolong-menolong perlu wujud dalam menghasilkan suatu kehidupan yang dapat memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Jadi sayugianya masing-masing harus mengenepikan ego diri, menyahkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan dan masalahah umum yang lebih besar demi membina kesatuan ummah dalam menjamin kelangsungan dan peranan mereka dalam masyarakat. Sebagai asas untuk kesatuan ummah, umat Islam perlu menghayati dengan meletakkan akidah Islam sebagai wadah tolong-menolong kepada usaha menguatkan peranan ummah dalam masyarakat melalui persepakatan dan satu suara.
Sikap saling peduli dan tolong – menolong menjadi salah satu ciri khas dalam budaya Islam. Oleh kerana tolong menolong itu dasarnya adalah kebajikan dan takwa maka tidak hairan bahawa tolong menolong itu mempunyai kesan yang sangat luas dan kuat kepada seorang Muslim sehingga ia mampu untuk mengadakan usaha perdamaian melebarkan kasih sayang. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa melapangkan seorang mukmin dari satu kesusahan dunia, Allah akan melapangkannya dari salah satu kesusahan di hari kiamat.” (HR Muslim).
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).