Home Kemanusiaan/Motivasi CINTA KEPADA MANUSIA ITU ADA PAHIT DAN MANIS TETAPI CINTA KEPADA ALLAH...

CINTA KEPADA MANUSIA ITU ADA PAHIT DAN MANIS TETAPI CINTA KEPADA ALLAH SWT ITU HAKIKI DAN MEMBAHAGIAKAN

2037
0

Sememangnya tidak dapat dinafikan manusia diciptakan dengan naluri semula jadi untuk mencintai dan menyayangi makhluk lain. Ini kerana perasaan cinta itu adalah satu perasaan semula jadi yang tidak dapat dinafikan kewujudannya dalam kamus kehidupan manusia sejagat. Setiap insan di dunia ini mempunyai perasaan cinta kepada sesuatu atau kepada seseorang.

Dari satu sudut, cinta itu kadang-kadang boleh mengakibatkan seseorang itu buta mata hatinya sehingga dia leka, lupa, alpa dan hilang kesedaran terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Dari satu sudut lain, cinta juga boleh membahagiakan seseorang sehingga dia dapat mengecapi kemanisan dalam setiap detik kehidupannya. Demikianlah betapa kuatnya pengaruh cinta hingga boleh mengubah perwatakan, peribadi dan hala tuju hidup seseorang manusia dalam menelusuri pentas hidup yang penuh pancaroba ini.
Allah SWT berfirman:

“Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternakan dan kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (QS Ali ‘Imran: 14).

Jelas bahawa cinta adalah satu perasaan yang diharuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia, namun cinta kepada perkara yang bersifat keduniaan pada hakikatnya bukanlah satu perasaan cinta yang akan berkekalan hingga ke Hari Akhirat. Oleh itu, perlu diinsafi cinta kepada kebendaan tersebut hanyalah bersifat sementara semasa hidup di dunia ini sahaja. Tetapi alangkah baiknya jika cinta kepada kebendaan tersebut dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memantapkan ketakwaan dan keikhlasan kepada Allah SWT, maka cinta tersebut adalah cinta yang cukup agung, mulia dan suci di sisi Allah SWT.

Bagi orang yang beriman, takwa yang terpahat kukuh di lubuk jiwa akan membiaskan rasa cinta yang mendalam dan rindu yang membara terhadap Allah Taala. Apatah lagi, perasaan cinta dan rindu yang menguntum mekar ini akan meningkatkan iman seseorang kepada Allah Taala. Natijahnya, orang yang merindui dan mencintai Allah Taala adalah golongan yang dapat mengecapi kemanisan iman sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW lewat sabdanya:

“Tiga perkara apabila berada pada diri seseorang, nescaya dia akan merasai kemanisan iman; iaitu hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain; hendaklah juga dia mengasihi dan mencintai saudaranya semuslim kerana Allah Taala; dan dia amat benci untuk kembali kepada kekufuran setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka yang bernyala-nyala api di dalamnya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Ironinya, tidak salah untuk mempunyai perasaan cinta terhadap sesama manusia seperti perasaan seorang lelaki kepada seorang wanita. Namun, jangan melebihi perasaan cinta kepada Allah SWT. Apabila perasaan cinta sudah berputik di lubuk jiwa, hatinya akan sentiasa ingat kepada Allah Taala sepanjang masa dan hubungannya dengan Allah Taala juga semakin hampir di mana dia merasakan kehadiran Allah Taala dalam setiap detik kehidupannya.

Sumber: Harian Metro (10 Januari 2023)