Insiden sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Pulau Pinang yang didakwa bertindak merosakkan harta benda didalam sebuah kelas selepas sesi terakhir pertengahan Februari lalu menjadi salah satu contoh kekufuran nikmat yang nyata dihadapi oleh rakyat Malaysia. Sebenarnya, masih banyak lagi kejadian ataupun insiden yang menunjukkan golongan manusia ini kufur nikmat. Antara kejadian paling nyata adalah ketika di bulan puasa. Sering kali berlakunya pembaziran makanan hingga terpaksa dibuang ke dalam tong sampah.
Namun dalam hal ini, dapat kita lihat bagaimana persoalan adab dan akhlak amat diberikan perhatian utama. Hinggakan para ulama terdahulu menjadi ilmu menyerap adab, akhlak murni dalam diri sebagai keutamaan yang perlu diutamakan sebelum ‘terjun’ dalam mendalami ilmu-ilmu yang lain. Mereka dengan sedayanya akan belajar beradab sebagai seorang penuntut ilmu. Dengan erti kata lain, beradab dahulu sebagai pelajar ilmu. Apa yang telah sekian kalinya berlaku dalam alam persekolahan mahupun di dunia pengajian tinggi, yang sering memaparkan insiden vandalisme dengan perbuatan merosakkan harta dan kemudahan awam menjelaskan kepada kita betapa nilai adab dan akhlak seolah-olah tidak tertanam dalam diri. Dalam Surah Ibrahim ayat 7 Allah SWT menegaskan yang bermaksud:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Ini satu amaran Allah kepada setiap hamba-Nya supaya mengelak daripada perbuatan mengingkari nikmat yang dikurniakan-Nya. Rasa syukur adalah akhlak hati yang mulia, tetapi ia seharusnya diterjemahkan melalui perbuatan nyata. Seharusnya kita sebagai umat Islam perlu bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan. Kita patut merasa bertuah kerana Allah SWT memberkahi bumi Malaysia dengan nikmat hidup yang aman, nikmat sistem pendidikan yang mudah, nikmat kesihatan dan bermacam-macam nikmat yang dikurniakan.
Bersyukurlah dengan seribu satu nikmat Allah SWT ini. Kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup. Firman Allah SWT:
“Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya).” (QS Ali ‘Imran: 144).
Jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredaiNya.
Sumber: Harian Metro (27 Februari 2023)