Home Kemanusiaan/Motivasi BUANGLAH SIKAP PESIMIS SEBALIKNYA BERSABAR DAN OPTIMIS TERHADAP UJIAN YANG ALLAH SWT...

BUANGLAH SIKAP PESIMIS SEBALIKNYA BERSABAR DAN OPTIMIS TERHADAP UJIAN YANG ALLAH SWT TURUNKAN KEPADA PARA HAMBANYA

547
0

Setiap daripada manusia di muka bumi ini pasti tidak akan lari daripada mempunyai sikap pesimis. Apa itu pesimis? Pesimis atau pesimistik menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud bersikap atau berpandangan mudah putus harap (cenderung melihat keburukan sesuatu, segera berasa kecewa atau hilang kepercayaan terhadap sesuatu). Mengambil kira contoh musibah banjir yang melanda negeri selatan tanah air baru-baru ini, kita sebagai umat Islam harus bersabar dalam menempuhi ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.

Walau apa pun situasi yang melanda, kita sebagai hamba Allah seharusnya bersikap tabah dan sabar. Mungkin sesetengah golongan yang mata pencariannya bergantung kepada sumber marin di laut, maka ketika ini tentu berhadapan dengan situasi sukar dan getir. Jangan dikeluh dengan keadaan apa pun yang ditimpakan Allah SWT. Apa yang diperintahkan Allah kepada hambaNya supaya melihat suasana semasa dengan hati yang reda dan sentiasa berdoa agar dibukakan jalan baharu buat sementara dalam mencari rezeki bagi menggantikan pintu yang tertutup itu. Allah SWT berfirman:

“Maka bersabarlah kamu seperti orang yang mempunyai keteguhan hati daripada rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka.” (QS al – Ahqaaf: 35).

Perkara utama yang sepatutnya diketepikan dalam diri ialah membuang sikap pesimis untuk menghadapi keadaan yang sukar. Sebab itulah Rasulullah SAW berpesan kepada kita semua supaya menanam sikap optimistik dalam melakukan apa sahaja. Ini diakui juga oleh beberapa tokoh Barat yang memperakukan bahawa sikap menentukan seseorang itu mampu melakukan sesuatu yang terbaik. Selain berfikiran positif menghadapi masa-masa sukar, kita juga sewajarnya tidak lupa memohon pertolongan daripada Allah segala kesulitan yang sedang dihadapi akan diringankan-Nya serta dipermudahkan urusan mencari rezeki. Jangan disebabkan sedang dalam kerumitan hidup menyebabkan kita terus berburuk sangka terhadap takdir Allah dan malas untuk berdoa. Rasulullah SAW menganggap orang yang enggan berdoa itu insan yang paling lemah. Sabda Baginda:

“Manusia paling lemah adalah orang yang tidak mampu memanfaatkan doa.” (HR At- Thabrani).

Ingatlah, dalam apa juga situasi yang kita tempuhi, jangan sampai terkeluar daripada mulut kata-kata yang berunsur keluhan. Sebaliknya teruslah menjalani kehidupan dengan melakukan transformasi dan pengubahsuaian mengikut keadaan supaya rezeki sentiasa dicurahkan Allah SWT. Orang yang bersikap reda dengan sebarang ketentuan Allah akan memutikkan kesabaran yang tinggi dan tidak takut terhadap apa sahaja kemungkinan. Ini kerana mereka yakin bahawa Allah SWT akan memberi kemudahan dan pertolongan kepadanya.

Sumber: Harian Metro (8 Mac 2023)