Home Ajaran Sesat MIMPI MUHAMMAD QASSIM MUNCUL KEMBALI WASPADA JANGAN TERPEDAYA DENGAN AMALAN SYIRIK YANG...

MIMPI MUHAMMAD QASSIM MUNCUL KEMBALI WASPADA JANGAN TERPEDAYA DENGAN AMALAN SYIRIK YANG BERCANGGAH DENGAN AJARAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

1410
0

Awal tahun 2022, seorang pemuda bernama Muhammad Qassim bin Abdul Karim yang berasal dari Pakistan telah menggemparkan Malaysia dengan menggembar-gemburkan mimpinya yang didakwa didatangi oleh Rasulullah SAW. Kini 2023, muncul kembali pemuda ini menguar-uarkan mimpinya sehingga tular di semua platform media sosial.

Sebagai contoh, seorang pemilik akaun Facebook ‘Seindah Pelangi Petang’ telah memuat naik status “..baca tasbih selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW seperti yang di ajar di dalam mimpi Muhammad Qassim, jadikanlah bacaan ini sebagai satu tabiat dan konsisten setiap hari, InsyaAllah , Aamin..”.

Sedangkan dalam Islam telah ada bacaan-bacaan khusus atau selawat-selawat tertentu yang diamalkan oleh para ulama berlandaskan hadis-hadis muktabar. Jadi, mengapa perlu mempercayai mimpi-mimpi seorang pemuda yang tiba-tiba muncul dengan mimpi peliknya?

Ada juga satu status lainnya menyebut “..Allahu Akbar!! Terbaik srikandi dan srikanda semua…Alhamdulillah..” dan disertakan dengan link Youtube yang bertajuk ‘ Suara Dukungan Rakyat Malaysia Terhadap Muhammad Qassim bin Abdul Karim’. Hal ini menunjukkan bahawa umat Islam di Malaysia semakin ramai telah terjebak dengan mimpi karut Muhammad Qassim ini kononnya mimpinya dapat membantu mereka mengetahui kejadian-kejadian yang akan datang kerana mendakwa didatangi Rasulullah SAW dalam mimpi tersebut.

Pada masa yang sama, tindakan pengikut Muhammad Qassim di Malaysia ini sehingga membentuk solidariti dikhuatiri mampu membina satu kekuatan yang menjurus ke arah tindakan keganasan bagi mempertahankan fahamannya.

Justeru itu, pihak berkuasa serta Kementerian Agama termasuklah JAKIM harus memantau perkara ini sebaiknya. Umat Islam perlu kuatkan akidah dan jangan mudah terpengaruh dengan anasir yang menyerupai syariat, namun sebenarnya jauh terpesong. Sesungguhnya adaptasi perkara-perkara lain selain daripada ajaran al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah kesesatan. Renung-renungkan.

Sumber: Bahagian penyelidikan al-Haq centre Malaysia – APR 2023