Home Kemanusiaan/Motivasi PERPADUAN DAN ILMU PENGETAHUAN KUNCI KEHARMONIAN NEGARA

PERPADUAN DAN ILMU PENGETAHUAN KUNCI KEHARMONIAN NEGARA

1624
0


Perpaduan adalah tunjang kesejahteraan dan keharmonian hidup di negara ini. Melalui perpaduan, masyarakat dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama tidak kira bangsa atau agama.

Selain perpaduan, masyarakat juga perlu menguasai ilmu pengetahuan kerana ianya menjadi kayu ukur kemajuan atau kemunduran sesebuah masyarakat. Masyarakat yang berilmu adalah masyarakat yang berwawasan, mempunyai kekuatan, jelas matlamat hidup, dihormati malah dicontohi. Sebaliknya umat yang kekal dalam kejahilan adalah umat yang lemah, mudah ditindas, tidak mempunyai wawasan, ketinggalan dalam kehidupan dan terdedah dengan segala bentuk ancaman.

Malaysia adalah negara yang mempunyai kedaulatan dan perlu dipertahankan demi kemakmuran berpanjangan. Usahlah dibiarkan maruahnya tercemar apatah lagi tergadai angkara konflik sesama kita seterusnya mengundang campur tangan kuasa asing.

Sekiranya kita terus bertingkahlaku negatif sehingga mendatangkan ancaman kepada negara, maka perbuatan tersebut dikategorikan sebagai mengkhianati agama Allah S.W.T., terpesong daripada ajaran Rasulullah S.A.W., melakukan dosa besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara.

Urusan agama dan dunia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah dan kesetiaan rakyat, malah keadaan masyarakat akan menjadi kacau bilau dan saling berbalahan antara satu sama lain. Oleh itu, marilah sama-sama bersatu padu memelihara kedaulatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat kesejahteraan.

Sumber: Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM)