Home Kemanusiaan/Motivasi PERSIAPAN MUSIM HAJI 1444H/ 2023M -BERSEDIAKAH KITA MENJADI TETAMU ALLAH SWT?

PERSIAPAN MUSIM HAJI 1444H/ 2023M -BERSEDIAKAH KITA MENJADI TETAMU ALLAH SWT?

285
0

Labbaik Allahumma labbaik

Labbaikala syarikalaka labbaik

Innal hamda wanni’matalak

Walmulkala syarikalak

Sudahkah kita bersedia menjadi para tetamu Allah SWT wahai umat Islam? Sudah pasti ada di antara kita telah pun menerima panggilan tawaran mengerjakan ibadah haji daripada Tabung Haji dan penerbangan kumpulan pertama para Duyufurrahman telah pun berlepas ke Kota Madinah pada 21 Mei yang lalu. Ibadah Haji merupakan rukun terakhir dalam kelima –lima Rukun Islam dan wajib dilaksanakan bagi yang berkemampuan. Dalam kerancakan kita meraikan hari – hari terakhir bagi bulan Syawal, kini tiba musim persediaan menunaikan ibadah haji menjelang bulan Zulhijah tidak lama lagi. Firman Allah SWT:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (QS Ali ‘Imran: 97).

Kebanyakan Kursus Perdana Haji di peringkat negeri-negeri juga selesai dilaksanakan. Bagi individu yang berpeluang ke Tanah Suci kali ini, pelbagai persiapan dilakukan sama ada dari aspek kewangan, mengikuti kursus haji dan pelbagai lagi. Persediaan untuk pergi ke Tanah Suci bukanlah perkara yang mudah bagi sebilangan orang kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental serta membabitkan kos yang tinggi. Perlu kita ketahui, ibadah haji bukanlah untuk tujuan bermegah-megah atau mendapatkan gelaran, jauh sekali menjadi modal untuk meraih populariti terutamanya di platform media sosial. Ibadah haji atau umrah dilaksanakan hanya semata-mata kerana Allah SWT dan bertujuan untuk mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT, bukan disebabkan oleh tujuan lain seperti ikut-ikutan atau percutian dan pelancongan. Allah SWT berfirman:

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”. (QS al – Baqarah: 196).

Ayat di atas mengingatkan kita semua agar sentiasa mengikhlaskan niat dalam menunaikan ibadah haji dan umrah. Oleh itu umat Islam harus mengambil peluang dan memanfaatkan masa dengan melaksanakan sebanyak mungkin ibadah seperti solat dan berdoa memohon segala hajat dan keampunan serta merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Fadilat yang diperoleh para tetamu Allah amatlah besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah rombongan Allah, jika mereka mendoakan sesuatu maka Allah akan memperkenankannya dan jika mereka memohon ampun, akan diampunkan.” (HR Ibnu Majah).

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam lakukanlah persiapan dari awal sebelum menerima panggilan haji yang seterusnya. Tidak ada salahnya dalam melakukan persiapan awal kerana sekurang – kurangnya kita sudah bersedia dengan ilmu dalam mengerjakan haji dengan lebih awal dan mempraktikkannya dari semasa ke semasa.

Sumber: Harian Metro (20 Mei 2023)