Akhir zaman hari ini sangat menakutkan. Manakan tidak, sebahagian besar daripada kita terutama sekali yang beragama Islam dengan bangga dan tanpa segan dan silunya mempamerkan trend gaya hidup mereka yang boleh dikatakan agak melampau. Ada beberapa buah video yang dimuat naik oleh beberapa pengguna di laman sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram menunjukkan kehidupan manusia akhir zaman ini penuh dengan kemaksiatan dengan berhibur di kelab – kelab malam sambil mengambil minuman keras dan bahan terlarang. Tidak kurang juga ada yang mempamerkan tarian yang mengghairahkan atas alasan untuk menghilangkan stress.
Tahukah kita bahawa perbuatan – perbuatan tersebut bakal memudaratkan kepada diri kita sendiri? Kita dengan bangganya menyebarkan aib sendiri dan berbangga dengan dosa – dosa yang dilakukan. Perbuatan tersebut disebut sebagai mujaharah iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan adalah di antara dosa besar yang dicegah dalam agama. Bukankah perkara ini telah ditegah oleh Allah SWT? Sekiranya seseorang itu diuji oleh Allah SWT dengan maksiat, hendaklah dia berusaha menyembunyikannya berserta dengan perbanyakkan taubat. Ini berdasarkan kata hukama’:
“Apabila kamu diuji dengan maksiat, maka hendaklah kamu menutupnya (tidak menceritakan kepada orang lain).”
Jangan sesekali kita berbangga dalam berbuat dosa wahai umat Islam! Beringatlah, dunia ini hanya tempat kita sementara dan akhirat tempat kita buat selama-lamanya. Sesiapa dengan sengaja menzahirkan maksiat yang dilakukan diri sendiri atau menceritakan dosa mereka kepada orang lain, Allah SWT sangat marah kepada mereka hingga (dengan sebab itu) Allah SWT tidak menutup keaiban mereka (iaitu keaiban mereka didedahkan, bahkan oleh mereka sendiri). Perbuatan mereka menunjukkan Allah SWT mencabut rasa malu daripada diri hingga tidak berasa segan mendedahkan keaiban diri, malah perbuatan itu tidak mendapat pengampunanNya.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah SWT mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.” (QS An- Nur: 19)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan