Dalam satu pepatah Arab mahsyur telah dinyatakan:
“Manusia yang paling bahagia adalah yang sentiasa membuat orang sekeliling mereka bahagia.”
Hari ini, ramai di antara kita yang sudah mula sedar dan buka mata tentang betapa pentingnya untuk mengambil peduli sesama insan di muka bumi ini. Boleh jadi atas semangat dan dorongan tersebut, sebilangan manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Namun perbuatan tersebut hendaklah dilakukan dengan ikhlas bukan bertujuan riak dan menunjuk-nunjuk yang menyebabkan hilangnya pahala kebajikan. Firman Allah SWT:
“Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (QS al – Hadid: 23).
Sekiranya kita melakukan kebaikan serta melaksanakannya dengan penuh keikhlasan, nescaya timbul perasaan senang dan bahagia secara semula jadi dalam sanubari. Mungkin kita pernah bersedekah kepada seorang pengemis di tepi jalan walaupun hanya dengan seringgit dua, belanja ahli keluarga atau rakan sekerja sekali-sekala, lalu perasaan senang muncul secara tiba-tiba tanpa disedari. Begitu juga amalan memberikan hadiah yang dianjurkan dalam Islam bagi memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturahim. Perkara tersebut selaras dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” (HR Bukhari).
Menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada seseorang yang benar-benar berada dalam kesempitan dan kesulitan juga mengundang kebahagiaan dalam jiwa. Ia akan menyebabkan kita turut tersenyum apabila melihat kesukaran yang dihadapi oleh orang lain dapat diringankan. Demikianlah cara sederhana yang membuatkan diri sendiri menjadi bahagia. Walaupun kita mungkin tidak kaya dari segi harta benda, namun kaya jiwa dengan sifat pemurah dan berkongsi nikmat yang dikurniakan. Rasulullah SAW bersabda:
“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).” (HR Muslim).
Justeru, sebagai umat Islam yang sentiasa patuh dengan ajaran agama, kita seharusnya mengambil peduli dan berbuat baik sesama manusia kerana itu adalah satu tuntutan yang telah diajarkan oleh agama Islam. Semua amalan yang dinyatakan menjadi kunci utama kebahagian yang mampu dipraktikkan oleh sesiapa sahaja. Pastinya, setiap kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan kebaikan. Maka untuk mendapatkan balasan kebaikan terutamanya ganjaran nikmat di dalam syurga, kita mesti mengamalkan sifat ‘ihsan’ sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran dengan maksud menjadi orang yang sentiasa berbuat kebaikan melalui cara membahagiakan insan lain.
Sumber: Harian Metro (12 Jun 2023)