Home Kemanusiaan/Motivasi TAWARAN MENGERJAKAN IBADAH HAJI GUNAKANLAH PELUANG INI UNTUK MEMBERSIHKAN JIWA DENGAN MENDAPAT...

TAWARAN MENGERJAKAN IBADAH HAJI GUNAKANLAH PELUANG INI UNTUK MEMBERSIHKAN JIWA DENGAN MENDAPAT HAJI YANG MABRUR

277
0

Sudah pasti ada di antara kita yang telah menerima tawaran mengerjakan haji pada tahun ini. Satu perasaan gembira yang tidak dapat digambarkan apabila menjadi tetamu Allah SWT secara eksklusif. Perjalanan ke Tanah Suci ini tidaklah sama seperti pergi ke negara dan tempat yang lain walaupun mempunyai kesamaan dari aspek sebagai musafir kerana wujud perbezaan perjalanan bersifat kerohanian untuk mengerjakan ibadah yang agung iaitu haji.

Bagi seseorang Muslim yang belum pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci, sudah pasti ini peluang yang tidak boleh dipersiakan malah akan lebih rindu dan ternanti-nanti peluang untuk hadir dan menjadi tetamu Allah SWT. Setiap perjalanan atau bermusafir memerlukan persiapan, walaupun hanya masa yang sebentar dan jarak yang dekat seperti persediaan bekalan pakaian, makanan, minuman, kenderaan, kewangan, keselesaan dan sebagainya. Persiapan perjalanan ke Tanah Suci yang melibatkan jarak yang jauh selain masa yang lama menyebabkan perlu persiapan rapi, teliti dan baik untuk meraih matlamat utama iaitu ibadah haji diterima oleh Allah SWT dan mencapai haji yang mabrur. Antara persiapan yang perlu ada bagi seorang bakal haji sudah pasti terarah kepada persiapan akidah dan ketakwaan. Firman Allah SWT:

“…berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal…” (QS al – Baqarah: 197).

Selain persiapan fizikal, para bakal Jemaah juga perlu mempersiapkan ‘tazkiyah nafs’ ataupun penyucian jiwa. Penyucian jiwa ialah berusaha membersihkan diri daripada segala penyakit dan aib, kemudian menghiasi diri dengan pelbagai akhlak yang mulia. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (QS al-Syams: 9-10).

Oleh itu, para bakal jemaah haji perlu berusaha membersihkan diri daripada segala sifat mazmumah (tercela) daripada menguasai diri yang boleh merosakkan diri dan amalan seperti sifat riak, bangga diri, sombong, angkuh dan sebagainya. Sebaliknya, berusaha menghiasi diri dengan sifat mahmudah (terpuji) supaya dipandang mulia di sisi Allah SWT. Gunakanlah peluang ini mempersiapkan diri bagi menghadap Allah SWT di Tanah Suci agar memperoleh haji mabrur yang memberi kesan terhadap kehidupan selepas haji.

Sumber: Harian Metro (8 Jun 2023)