Home Kemanusiaan/Motivasi ISU BADAL HAJI PALSU UMAT ISLAM DIMINTA BERHATI – HATI DALAM SEBARANG...

ISU BADAL HAJI PALSU UMAT ISLAM DIMINTA BERHATI – HATI DALAM SEBARANG TAWARAN PAKEJ BADAL HAJI

197
0

Setiap umat Islam di dunia ini diwajibkan untuk melaksanakan Rukun Islam terakhir iaitu mengerjakan ibadah haji. Maka dengan itu baru sempurna segala rukun Islamnya sebagai hamba Allah SWT dan juga umat Nabi Muhammad SAW. Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (QS Ali ‘Imran: 97).

Namun, bagi yang tidak berkemampuan daripada segi kesihatan ataupun sudah meninggal dunia, maka para waris boleh menjalankan Badal Haji seperti yang ditawarkan oleh pihak Tabung Haji ataupun agensi – agensi yang dilantik. Apa itu Badal Haji?

Badal Haji ataupun disebut sebagai Haji Niyabah (Haji Gantian) ialah sejenis haji yang ditunaikan oleh seseorang untuk orang lain menurut syarat-syarat yang tertentu. Ia khusus dilaksanakan demi mereka yang Muslim yang sepanjang hidupnya atau hayatnya merupakan seorang yang berkemampuan (dari segi kewangan) untuk melaksanakan haji, tetapi dari segi batiniah (badannya) ia terlau tua atau uzur sehingga dia tidak ada harapan lagi untuk menunaikan haji di Makkah.

Akan tetapi, isu Badal Haji kini menjadi hangat apabila dikhabarkan bahawa ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan “perniagaan” Badal Haji palsu. Ini seperti yang di viralkan di media – media sosial di mana di video berkenaan di ambil di sekitar kawasan perkumpulan jemaah – jemaah haji dan ada seorang yang kononnya diupah untuk menjalankan badal haji tersebut hanya mengambil gambar beserta dengan sekeping kertas penama yang dibadal haji dengan sedikit ucapan bahawa haji mereka telah diselesaikan.

Isu ini sangat berat dan pihak Tabung Haji (TH) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah pun mengambil maklum akan hal tersebut dan seterusnya mengambil langkah untuk memantau kegiatan tersebut. Tidak sepatutnya sebuah ibadah yang suci buat umat Islam seperti ibadah haji ini dijadikan bahan perniagaan. Ia sebuah dosa yang amat dibenci oleh Allah SWT kerana diibaratkan melanggar perjanjian dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (QS An – Anfal: 27).

Oleh itu, umat Islam diminta untuk lebih berwaspada dengan pakej -pakej Badal Haji yang disediakan oleh agensi – agensi yang mengiklankan perkhidmatan tersebut. Semak kesahihan pakej Badal Haji dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), mengenai kesahihan iklan atau tawaran berkaitan. Ini bagi memastikan kita tidak terjerat dengan pakej tersebut dan kemudiannya mendatangkan kerugian kepada diri sendiri di kemudian hari.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan