Artikel berkenaan memelihara agama dan maruah ini bukanlah kali pertama yang di tulis, bahkan sudah banyak ditulis untuk dijadikan pedoman buat semua umat Islam di negara ini. Seiring dengan kemajuan teknologi, sudah tentu kita juga tidak ingin ketinggalan untuk menikmatinya, terutama yang berkaitan dengan media sosial. Jika dilihat, kaum Muslimah lebih banyak dan lebih cenderung untuk memuatnaik ‘content’ di laman sosial berbanding kaum Muslimin. Tidak kiralah sama ada ‘content’ berunsurkan pendidikan, agama dan juga hiburan.
Namun, apa yang mengecewakan adalah kini ia seakan menjadi satu ‘trend’ atau ikutan buat kaum wanita apabila memuatnaik video yang memalukan diri mereka, menjatuhkan dan mengaibkan diri mereka sendiri. Ini seperti video yang hangat diperkatakan tentang seorang wanita yang menari di Kota Makkah dan juga kemunculan ‘trend’ terbaru berkenaan penceritaan ‘perjalanan’ wanita yang bangga melahirkan anak di luar pernikahan (anak tidak sah taraf), nauzubillahiminzalik! Bukankah di dalam Islam telah diajarkan untuk menyembunyikan aib sendiri dan juga orang lain? Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa)…” (HR Bukhari).
Ketahuilah wahai kaum hawa, perbuatan mendedahkan dosa kesalahan sendiri kepada khalayak ramai dilarang kerana ia bukan sahaja menutup pintu rahmat Allah SWT bahkan ia mencemari kesucian agama Islam itu sendiri. Perbuatan mendedahkan keaiban diri demi sebuah ‘content’ untuk populariti boleh disifatkan sebagai satu perbuatan melampau. Anda mahu cabar siapa?! Allah SWT? Astaghfirullahalazim. Takutlah dengan azab Allah SWT. Walaupun anda sudah terlanjur melakukan sebuah dosa, simpanlah ia untuk pengajaran diri sendiri dan usah diceritakan kepada khalayak umum apalagi di platform media sosial.
Memelihara kehormatan diri dan agama Islam adalah satu cabaran dan tanggungjawab yang besar kepada umat Islam pada hari ini khususnya kaum wanita. Seeloknya, elakkan lah diri kita dari terlalu membuat pendedahan di media sosial kerana ia dikhuatiri akan digunakan oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan eksploitasi atau juga sebagai bahan fitnah. Ingatlah sabda Rasulullah SAW:
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR Muslim).
Pelihara maruah diri dan jagalah agama Islam sebaik yang boleh agar tidak sewenang – wenangnya menjadi bahan cercaan kerana tindakan kita sendiri.
Sumber: Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)