Home Kemanusiaan/Motivasi SENTIASALAH BERTABAYYUN DAN BERHATI – HATILAH DENGAN FITNAH SEPANTAS KILAT

SENTIASALAH BERTABAYYUN DAN BERHATI – HATILAH DENGAN FITNAH SEPANTAS KILAT

190
0

Terang dan nyata bahawa fenomena bersosial pada hari ini menyaksikan semakin membiaknya perbuatan memfitnah yang seolah-olah fitnah itu tidak ada apa-apa hukumnya di sisi agama. Tanpa segan dan berasa berdosa ada segelintir yang tergamak untuk menabur ucapan berunsur fitnah sedangkan budaya lisan sebegitu terlalu keji yang dimurkai Allah SWT. Banyak sekali fitnah – fitnah yang bermuncul di platform media sosial terutamanya di platform TikTok yang hanya menayangkan video dalam masa yang singkat tanpa ada penjelasan sebenar.

Hari ini, perbuatan menabur fitnah seakan-akan bukan perbuatan terlarang sebaliknya masing-masing berlumba-lumba melakukannya. Sebenarnya, fitnah perbuatan amat terlarang di sisi agama Islam dan larangannya jelas dinyatakan menerusi pelbagai firman Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Misalnya, dalam surah al-Israk, ayat 36 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Sesungguhnya, mereka yang dengan sewenang-wenangnya menabur fitnah, hati dan jiwa mereka tidak ingat pada hari pembalasan. Malah Rasulullah SAW sendiri telah memberi amaran kepada para pemfitnah menerusi sebuah hadis yang disabdakan oleh Baginda yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)”. (HR Bukhari dan Muslim).

Ketahuilah, Islam menyediakan dasar sosial yang tetap kekal relevan merentas zaman, ini termasuklah dalam menangani isu mudah jari jemari menaip bahan fitnah dan menyebarkan ‘sepantas kilat’ kepada pihak lain. Islam telah pun menyediakan ruang kehidupan bermasyarakat yang boleh kita tafsirkan sebagai Masyarakat Bertabayyun. Bertabayyunlah dalam menerima atau menyampaikan sesuatu berita. Jangan jadikan diri kita sebahagian daripada dosa yang tidak diampunkan akibat menyakiti saudara kita sendiri.

Kita perlu insaf dan ingat bahawa Allah SWT memerintahkan supaya sentiasa bersikap menyelidik serta mendapat kesahihan sesuatu berita yang disampaikan seseorang. Ia bagi bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan