Home Kemanusiaan/Motivasi ADAB DALAM MEMILIH PEMIMPIN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

ADAB DALAM MEMILIH PEMIMPIN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

452
0

Menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini, ramai di antara kita yang sudah tidak sabar untuk mengundi bagi memilih seorang calon bagi setiap kawasan untuk dijadikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran tertinggi di dalam negara. Antara negeri yang terlibat di dalam PRN kali ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Namun, artikel pada kali ini bukanlah berkisarkan tentang politik tetapi lebih menyorotkan tentang pemilihan pemimpin mengikut adab syariat Islam. Seperti yang kita tahu, Malaysia ini terdiri daripada majoriti yang beragama Islam dan sudah tentulah kita sebagai umat Islam mahu memilih pemimpin dari kalangan yang beragama Islam untuk memimpin kita pada masa hadapan. Namun, sekiranya tiada pilihan orang Islam dari kalangan yang dipertandingkan pada PRN kali ini, maka dibolehkan untuk memilih pemimpin yang bukan Islam dengan syarat iaitu beliau tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam kita memilih pemimpin, ada adab yang perlu kita turuti mengikut syariat yang ditetapkan oleh agama Islam. Antara adab – adab berikut adalah:

1) Seorang Mukmin. Iaitu seseorang yang beriman kepada Allah SWT dan beragama Islam (Muslim) yang baik. Mempunyai integriti yang bagus, keperibadian yang kuat amanah, jujur dan akhlaknya mulia, sehingga patut menjadi teladan bagi orang lain atau rakyat yang dipimpinnya sebagai dasar kepemimpinan dalam Islam.

2) Rajin beribadah. Pemimpin yang baik dan layak dipilih adalah pemimpin yang sentiasa menjaga solatnya.

3) Rajin berzakat dan bersedekah.

4) Suka beramah mesra bersama masyarakat. Berusaha mengetahui keadaan rakyatnya dengan sebaik-baiknya, dan mencarikan jalan keluar atas persoalan-persoalan yang dihadapi masyarakatnya.

5) Adil. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” (QS Al – Maidah: 8).

6) Jujur. Sabda Rasulullah SAW:

“Seseorang yang telah ditugaskan Allah untuk memimpin rakyat, kalau ia tidak memimpin rakyat dengan jujur, nescaya dia tidak akan dapat mencium bau syurga” (HR Bukhari).

7) Pemimpin yang mencegah kemungkaran.

8) Pemimpin yang menyatukan rakyat.

9) Pemimpin yang sederhana.

Oleh itu, pilihlah pemimpin sebagaimana yang ditetapkan di dalam al – Quran dan hadis. Seorang Muslim yang mahu memilih pemimpin tidak dibenarkan mengangkat seseorang calon yang hanya menawarkan wang semata – mata. Ini kerana kewajipan syariat menerangkan kepada kita untuk memilih calon pemimpin yang jujur dan ikhlas, dan menilai faktor kecekapan dan kompetennya dalam memimpin rakyat serta menjalankan pemerintahan.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW jelas disebutkan antara golongan yang akan diberi azab yang pedih ketika akhirat adalah golongan yang mengangkat pemimpin kerana habuan keduniaan seperti wang, dan jika tidak diberi kepadanya pula maka dia akan marah dan meninggalkan pemimpin tersebut. Sama-sama kita bermuhasabah agar tidak termasuk dalam golongan seperti yang disebutkan di atas. Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan