Sudah terlalu banyak kontroversi yang diciptakan band – band ataupun kumpulan pemuzik yang berasal daripada Korea Selatan. Mengapa ada lagi segelintir umat Islam yang masih mengidolakan mereka? Butakah kita semua bahawa mereka tidak sedikit pun mengambil berat atau merasa sensitif dengan agama kita malah mereka semakin galak menghina agama kita melalui muzik mereka.
Sebagai contoh salah seorang ahli band terkenal, Rap Monster atau lebih dikenali sebagai RM dari kumpulan BTS yang enggan membuat permohonan maaf susulan kontroversinya berkenaan lagu ‘Bad Religion’ atas alasan ianya cuma sebuah lagu dan berhak untuk didengari oleh setiap manusia. Yang terkini, salah sebuah band yang dikenali sebagai ‘Kingdom’ menggunakan kulit album mereka kelihatan hampir serupa dengan Al-Quran dan satu-satunya perbezaan adalah logo kumpulan tersebut yang menggantikan tulisan Arab di bahagian hadapan. Realitinya, sudah banyak kumpulan – kumpulan pemuzik Korea ini menghina agama Islam melalui muzik mereka. Cuma kita sahaja yang masih lalai dek kerana alunan muzik mereka yang meresap ke jiwa kita.
Tidak keterlaluan jika didedahkan di sini bahawa kebanyakan daripada mereka menggunakan alunan potongan ayat suci al – Quran di dalam muzik mereka, menggunakan latarbelakang replika menyerupai Kaabah semasa membuat persembahan, bergambar sambil duduk di atas sejadah dan membuat tatu di badan menggunakan nama Allah SWT. Adakah kita sebagai umat Islam masih lagi mahu mengangkat mereka sebagai idola? Menjerit – jerit nama mereka dan mengangungkan mereka semasa mereka membuat persembahan? Menyokong mereka dengan membeli tiket konsert sehingga harga mencecah ribuan Ringgit? Tidak berbaloi dan tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan terhadap agama kita.
Sedarlah wahai kaum Muslim! Kita ini sedang diperalatkan oleh mereka melalui muzik dengan tujuan untuk menarik kita menentang agama kita sendiri. Wajarkah kita menentang agama sendiri hanya disebabkan rasa ‘cinta’ kita terhadap kumpulan muzik kegemaran sedangkan mereka langsung tidak mengendahkan kewujudan kita? Jadilah Muslim yang bijak dengan mengimbangi antara kepentingan agama di dalam diri dan pemilihan hiburan yang tidak melanggar syarak yang ditetapkan oleh agama. Firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (QS Ali ‘Imran: 85).
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)