Mutakhir ini, sering kita lihat banyak insiden-insiden yang melibatkan adab serta tatasusila. Tidak kira yang muda mahupun yang telah lanjut usia, ada sahaja insiden yang memalukan dirakam hingga menjadi bahan tontonan masyarakat umum. Seharusnya perkara ini tidak perlu terjadi kerana rakyat Malaysia dikenali sebagai rakyat yang mempunyai adab dan akhlak sopan santun yang lebih tinggi berbanding dengan rakyat di negara-negara luar yang lain.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sayangilah semua yang ada di bumi, maka semua yang ada di langit akan menyayangimu.” (HR al-Tirmizi).
Antara cara yang boleh dipraktikkan dalam menghormati orang tua adalah:
a. Memanggil dengan gelaran serta panggilan yang baik
b. Bercakap dengan sopan santun
c. Berjalan di belakang atau di sisi bukan di hadapan orang tua
d. Meminta laluan jika melintasi orang tua
e. Jika dinasihati, dengar dengan baik walaupun kita mungkin tidak bersetuju
f. Jika ingin menasihati, gunalah saluran yang betul serta menjaga adab yang baik seperti penggunaan bahasa
yang beradab.
Sementara cara untuk menyayangi golongan yang muda boleh dilakukan seperti:
a. Memberi contoh yang baik
b. Menasihatkan dengan cara yang baik jika dia melakukan kesalahan atau kesilapan
c. Ajarlah serta bimbinglah mereka dengan cara yang terbaik
d. Jangan mengherdik atau memaki hamun jika dia melakukan kesilapan
e. Hargailah sesuatu yang telah dilaksanakan walaupun kecil
f. Elak dari merendah dan meremehkan apa yang dilakukan oleh mereka
Islam adalah agama yang mengajak umatnya untuk berkasih sayang dan saling menghormati. Kasih sayang adalah penghubung tali persaudaraan sesama manusia. Golongan tua adalah merupakan individu penting dalam membentuk golongan muda dengan sifat kasih sayang antara satu dengan yang lain. Mereka perlu melayani dan membimbing golongan muda dalam kalangan anak-anak atau remaja dengan penuh kasih sayang.
Oleh itu, umat Islam di negara ini hendaklah meyakini bahawa kasih mengasihi sesama manusia adalah perintah daripada Allah SWT kepada semua umat manusia dan menyedari bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan kesejahteraan hidup dengan berkasih sayang. Bukan itu sahaja, umat Islam disarankan untuk memupuk sikap saling menghormati antara golongan yang tua dengan golongan yang lebih muda.
Ingat, Rasullullah SAW tidak akan mengakui sebagai umatnya kepada orang yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua melalui hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak menyayangi orang yang kecil di antara kami dan tidak memahami hak orang yang lebih besar di antara kami, maka ia bukan dari golongan kami.” (HR Abu Daud).
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)