Hangat diperkatakan baru – baru ini apabila munculnya satu ‘ajaran’ baru di platform Telegram yang membincangkan soal hubungan kelamin suami isteri secara terbuka. Pengasasnya yang dikenali sebagai Fatin Fauzi telah menyebarkan ‘ajaran’ itu secara meluas buat para golongan suami isteri terutamanya pasangan suami isteri baru berkahwin yang kononnya ingin melayari bahtera rumah tangga dalam keadaan mendapatkan ‘redha’ Allah SWT.
Di dalam ‘group’ Telegram tersebut, beliau telah secara terbuka ‘mengajar’ pasangan suami isteri cara melakukan hubungan badan termasuk kaedah luar tabi’i yang sama sekali dilarang dalam ajaran Islam. Bahkan, Fatin Fauzi juga tanpa segan silu mengajak para kaum isteri untuk menjadi ‘pelacur’ kepada suami mereka. Astaghfirullahalazim! Satu ajaran nista lagi menjijikkan! Bukankah Islam telah mengajarkan umatnya untuk saling menjaga aib sendiri mahupun orang lain? Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar juga telah membuat teguran secara terbuka berikutan hal tersebut. Katanya, ada perkara yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka termasuk bab hubungan intim suami isteri. Dalam hidup ini, ada satu akhlak yang paling penting iaitu perasaan malu. Apatah lagi topiknya dengan menggunakan bahasa berbaur lucah. Ini bukan akhlak Islam.
Setiap Muslim berkewajipan menjaga ‘air muka’ sendiri. Setiap orang dilarang mendedahkan keaiban diri sendiri di depan orang ramai. Apatah lagi sekiranya diri mendedahkan dosa yang dilakukan oleh diri sendiri untuk tujuan berbangga dengan kemungkaran tersebut. Haram bagi seseorang individu berasa bangga dengan dosa kesalahan yang dilakukan. Sesungguhnya dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Muslim merupakan punca datangnya kemurkaan Allah SWT terhadap dirinya. Neraka adalah tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh hamba yang tidak kembali bertaubat kepada-Nya. Allah SWT berfirman yang maksudnya:
“Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.” (QS al-Furqan: 66).
Ingatlah, sebelum kita mahu menuntut ilmu dengan seseorang ataupun sesuatu perkara, siasat dahulu kesahihannya. Jangan kerana terlalu taksub dan cepat percaya, habis segala keaiban dicerita dan akhirnya mengundang malu yang besar kerana sudah diketahui oleh kebanyakan orang. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (HR At – Tirmidzi).
Sumber: Harian Metro (1 Jun 2022).