Home Liberalisme FAHAMAN LIBERAL PERLU DIBERI PERHATIAN SUPAYA TIDAK BERKEMBANG KERANA IA MEROSAK...

FAHAMAN LIBERAL PERLU DIBERI PERHATIAN SUPAYA TIDAK BERKEMBANG KERANA IA MEROSAK AKIDAH UMAT ISLAM DAN MENGGUGAT KEHARMONIAN NEGARA

559
0

Fahaman liberal lahir sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalism dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun.

Tidak dinafikan bahawa liberalisme dibangunkan untuk memelihara kepentingan dan tujuan (maqasid) manusia yang secara semulajadinya inginkan kebebasan dan bebas daripada sebarang penindasan. Namun, kemudiannya ia berkembang menjadi cara hidup dan kepercayaan yang menjadi antitesis kepada agama.

Fahaman liberal bukan hanya suatu ideologi politik tetapi merupakan suatu kepercayaan, cara hidup yang mengatur masyarakat pada umumnya. Dalam Islam, kita mengenal konsep kebertanggungjawaban secara individu. Ini bermakna segala pahala dan dosa perbuatannya akan menjadi tanggungannya sendiri dan tiada orang yang akan menanggung untuknya. Namun, ianya tidak bermakna bahawa perbuatan tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan sama ada baik atau buruk kepada orang lain.

Justeru, dalam Islam setiap perbuatan yang baik akan diambil kira bukan sahaja perbuatan itu sahaja, tetapi juga bagaimana ia memberi kesan kepada orang lain. Jika perbuatan baiknya menjadi penyebab kepada banyak perbuatan baik yang lain, maka orang yang memulakannya akan mendapat ganjaran daripada setiap perbuatan baik yang datang, begitu juga sebaliknya.

Fahaman liberal sebenarnya adalah fahaman sekular yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam sama ada dalam urusan peribadi atau urusan umum. Ini disebabkan fahaman liberal menganggap hal agama tidak boleh dicampurkan sama sekali dalam urusan-urusan tersebut.  Meskipun mereka yang berfahaman liberal sering mendakwa bahawa urusan agama adalah urusan individu, namun hakikatnya mereka menentang penguatkuasaan agama bahkan agama akan sentiasa disisihkan.

Golongan liberal menyakini bahawa individu tidak perlu terikat dengan ketentuan agama kerana individu mempunyai kebebasan untuk menafsir agama berdasarkan hak kebebasan dan kepentingan mereka sendiri

Bahkan pada hari ini golongan sekular dan liberal pada umumnya melakukan generalisasi bahawa semua agama adalah anti kemajuan, konservatif, teokratik dan tidak rasional. Para pendokong fahaman liberal telah mengangkat fahaman liberal sebagai satu-satunya sistem yang patut diamalkan di dunia ini kerana ia adalah jalan terbaik bagi memelihara kemuliaan manusia, kebebasan dan keadilan.

Fahaman yang terpesong dan semakin menular ini lah perlu dibendung dari awal sebelum ia memberi ancaman yang lebih besar kepada akidah umat Islam dan menjadi permulaan kepada kekacauan serta menggugat keharmonian kaum dan beragama di negara ini.

Sumber: Jurnal Afkar, Islam dan Liberalisme.