Menurut sejarah, Hizbut Tahrir mempunyai sedikit persamaan dengan Ikhwanul Muslimin kerana pengasasnya Taqiyuddin Nabhani merupakan bekas anggota Ikhwanul Muslimin Mesir sekitar tahun 1990an. Beliau keluar daripada jemaah Ikhwanul Muslimin Mesir kerana tidak bersetuju dengan pendekatan Ikhwanul Muslimin Mesir yang mengambil pendekatan politik menggunakan sistem demokrasi pilihanraya, lalu mendirikan gerakan Hizbut Tahrir dalam rangka menegakkan Khilafah Islam.
Nabhani melalui Hizbut Tahrir mempunyai pandangan bahawa solusi bagi umat Islam hanyalah dengan tertegaknya Khilafah Islam tetapi bukan melalui sistem demokrasi, sebaliknya menggunakan sistem politik Islam yang khusus. Namun, sistem politik Islam yang diwar-warkan masih kabur dan hanya menjadi suatu uthopia sahaja. Mereka menyatakan sistem Khilafah sebagai ubat yang boleh menyembuhkan seluruh persoalan umat Islam. Bagi Hizbut Tahrir, sistem Khilafah menjadi suatu kewajipan dan semua sistem selain Khilafah termasuk sistem demokrasi yang diamalkan sekarang, meskipun sudah banyak perbahasan ulama yang mengharuskannya, dianggap kafir.
Di dalam buku karya Nabhani sendiri ditegaskan secara terang-terangan, Hizbut Tahrir adalah parti politik yang berideologi Islam. Politik menjadi asas gerakannya dan Islam adalah prinsipnya. Ia bergerak di tengah-tengah umat untuk menjadikan Islam sebagai asasnya yang menggerakkan anggotanya menegakkan Khilafah. Namun sistem politik yang diwar-warkan dalam menegakkan Khilafah Islam sangat mengelirukan, kabur malah ideologi perjuangan Hizbut Tahrir sendiri masih banyak yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wa Jamaah
Umpamanya Hizbut Tahrir dalam banyak perkara hal akidah juga menganut beberapa ideologi yang tidak selari dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antaranya ialah mereka memiliki pandangan yang sama dengan Muktazilah terutama dalam pengingkaran terhadap qadha’ dan qadar.
Sebagai contoh, dalam buku karya Nabhani menyatakan semua perbuatan ikhtiyari manusia ini tidak ada hubungannya dengan qadha’ Allah. Ini kerana menurut mereka, manusialah yang melakukan semuanya dengan kemahuan dan pilihannya sendiri. Oleh itu, perbuatan-perbuatan manusia yang bersifat ikhtiyariah ini tidak termasuk dalam kategori qadha’.
Sumber: Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Jurnal Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Pamekasan, Madura dan Detik News, 8 November 2018.