Berikutan sokongan kuat Malaysia terhadap Palestin dan usaha besar-besaran memboikot apa sahaja produk daripada Israel dan negara yang menyokongnya, Malaysia seharusnya perlu bersedia terhadap kemungkinan ancaman luar seperti pembunuhan anggota Hamas yang berada di Malaysia.
Sebelum ini telah terjadi di mana seorang Professor Palestin dan anggota Hamas, Fadi Mohamed al-Batsh, yang terbunuh dalam kes tembakan di Kuala Lumpur dan penahanan seorang wanita Malaysia yang dipercayai direkrut oleh agensi perisikan Israel Mossad tahun lalu kerana menculik seorang warga Palestin yang dipercayai pakar pengaturcaraan komputer.
Selain itu, ancaman luar juga semakin ketara apabila dikesan kehadiran kedua-dua pihak perisikan tempatan dan asing yang menunjukkan potensi kebimbangan keselamatan ekoran timbul ugutan terhadap Perdana Menteri yang menyatakan sokongan kepada Gaza dan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin. Modus operandi rejim Israel adalah menunggu sebelum menyerang pada ‘waktu dan tempat yang betul’. Sekiranya serangan seumpama ini berlaku ia akan memberi impak serius terhadap keselamatan negara. Ejen asing juga mungkin akan mengeksploitasi dan mengambil kesempatan terhadap kelemahan keselamatan negara untuk melaksanakan operasi.
Justeru itu, dalam usaha menangkis serangan pihak luar terhadap negara, pasukan perisikan negara perlu mengambil langkah proaktif dan improvisasi serta belajar daripada insiden lalu supaya perkara yang sama tidak berulang. Hal ini kerana yang dipertaruhkan adalah keselamatan nyawa, keharmonian dan kedaulatan negara, maka sama-samalah berganding bahu menangkis anasir-anasir yang boleh memberi ancaman pada negara demi kebaikan bersama.
Sumber: Penganalisis Antikeganasan, Dr Ahmad El-Muhammady – UIA