Home Kemanusiaan/Motivasi ENAM CIRI MANUSIA YANG BERUNTUNG MENURUT ISLAM

ENAM CIRI MANUSIA YANG BERUNTUNG MENURUT ISLAM

149
0

Dunia bukan matlamat mutlak buat manusia meraih nikmat kerana ia bersifat sementara. Bagaimanapun, bukan bermakna kita perlu sentiasa tegar dengan amalan akhirat sehingga melupakan tanggungjawab dan urusan duniawi. Islam mengajar kita untuk menyeimbangkan kedua – duanya. Dalam kesibukan mengurus hal ehwal keduniaan, jangan sesekali kita melupakan bekalan untuk menuju ke akhirat.

Tingkatkan usaha untuk beribadat dan beramal soleh kerana dengan cara itu saja kita bakal ditempatkan pada kedudukan yang tinggi di akhirat kelak. Ini kerana Allah SWT menjanjikan balasan syurga yang penuh kenikmatan buat hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Nikmat itu tidak tergambar pada fikiran mereka. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah As-Sajadah, ayat 17 yang bermaksud:

“Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”

Ini bermaksud, apa yang Allah SWT sediakan untuk kita di dalam syurga tidak dapat diperincikan serta tidak terfikir oleh kekuatan akal. Antara enam ciri manusia yang beruntung menurut Islam adalah:

1) Orang yang khusyuk dalam solatnya.
2) Orang yang meninggalkan perkara – perkara yang tidak berfaedah.
3) Orang yang menunaikan zakat.
4) Orang yang menjaga kehormatan dirinya.
5) Orang yang memelihara amanat dan janjinya.
6) Orang yang memelihara solat mereka.

Antara ciri – ciri di atas, semuanya telah terkandung di dalam surah Al – Mukminun ayat 1 hingga 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjadi sebahagian daripada manusia yang beruntung itu. Masa sudah semakin suntuk, maka gunalah peluang yang ada ini untuk mempertingkatkan diri kita menjadi seorang Muslim yang sejati dan seterusnya beruntung di dunia dan akhirat.

Sumber: Kolum Addin Harian Metro (https://www.hmetro.com.my/addin/2019/01/417254/hamba-beruntung-di-akhirat), 29 Januari 2019