Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARI PERMUSUHAN SESAMA ISLAM KERANA SIKAP SALING BERMUSUH ITU AMAT DIMURKAI OLEH...

HINDARI PERMUSUHAN SESAMA ISLAM KERANA SIKAP SALING BERMUSUH ITU AMAT DIMURKAI OLEH ALLAH SWT

896
0

Agama Islam adalah agama yang mengajarkan persaudaraan, saling mengasihi, saling menolong dan saling membela sesama Muslim dalam kebenaran dan seorang yang bergelar muslim adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Oleh itu, tidak seharusnya kebencian beraja di dalam diri mereka, permusuhan yang berpanjangan dan sifat dengki tidak patut mempengaruhi akhlak mereka.

Maka, jika ada dua Muslim yang saling berseteru, janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan yang sudah berserabut itu. Sebaliknya, cari jalan perdamaian di antara kedua-dua belah pihak dan perbuatan itu mestilah diniatkan kerana Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… (HR. Imam Malik: 2565)

 Pengajaran daripada ayat diatas, Allah akan menangguhkan penerimaan amal dan keampunan daripada dua orang Muslim yang bermusuhan sehingga mereka berdamai dan ayat ini diulang oleh Rasulullah SAW sebanyak tiga kali di dalam hadis. Ini bermakna ia adalah sebuah peringatan yang serius kepada umat Islam. Walau sebanyak mana pun amal dan ibadah yang kita lakukan kepada Allah, ia tetap tidak akan diterima selagi mana kita sesama Muslim tidak berbaik.

Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa orang yang memboikot saudaranya tanpa alasan yang benar selama setahun, dosanya seperti menumpahkan darahnya. Dari Abu Khirasy As-Sulami RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang memboikot saudaranya setahun, dia seperti menumpahkan darahnya.” (HR Abu Daud: 4915)

Oleh itu, Jadikanlah diri kita orang yang segera menamatkan permusuhan sesama Muslim jika ada, agar amal kita diterima dan mendapat pengampunan serta rahmat Allah. Sesungguhnya kebencian di antara satu sama lain tidak akan membawa keuntungan dan sebarang kebaikan malah dimurkai Allah SWT. Seharusnya kita cuba berfikiran positif dan cuba memaafkan orang lain andai mereka pernah membuat kesalahan dengan kita kerana memaafkan itu lebih mulia dari meminta maaf.

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Laman Portal SalamWeb Today