Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH INSAN YANG SENTIASA MENDAMAIKAN PERSELISIHAN DAN BUKANNYA INSAN YANG MEMULAKAN PERSENGKETAAN

JADILAH INSAN YANG SENTIASA MENDAMAIKAN PERSELISIHAN DAN BUKANNYA INSAN YANG MEMULAKAN PERSENGKETAAN

1197
0

Manusia sejak mula diciptakan sehinggalah hari ini sentiasa berada dalam percanggahan dan perpecahan sama ada dalam konteks keluarga, politik, kenegaraan ataupun masyarakat seluruhnya. Walaupun adat resam, pakaian dan budaya mempunyai persamaan, hakikatnya pertikaian tidak pernah lekang daripada kehidupan mereka.

Sabda Rasulullah SAW:

“Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?” para sahabat berkata, “Tentu ya Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan).” (HR Sunan Abu Daud: 4273)

Hakikatnya, tiada seorang pun daripada manusia merasa senang dengan perpecahan apatah lagi apabila ia berlaku dalam sesebuah keluarga di mana kesannya akan ditanggung oleh anak. Begitu juga dalam konteks negara dan golongan atasan yang mengakibatkan tekanan kepada rakyat jelata.

Oleh itu, menjadi salah seorang daripada golongan yang mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama dan dituntut dalam Islam berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah. Usaha ke arah perdamaian sesama manusia adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah SWT kerana mendamaikan dua pihak yang bertelagah diumpamakan menyatukan dua hati yang berpecah seterusnya menutup pintu fitnah yang bakal dicetuskan oleh kedua-dua pihak.

Mereka yang banyak berusaha ke arah ini telah menambahkan aset sedekah pada catatan amalannya pada hari kiamat. Malah ia juga dianggap projek besar yang disediakan Allah SWT kepada hamba-Nya. Nampaknya kita sering terlepas pandang projek besar yang ditawarkan ini, malah kita pula menjadi api untuk menambahkan permusuhan itu. Amat malang bagi kita jika kita sia-siakan projek ini dan menjadi batu api kepada merebaknya permusuhan antara manusia.

Keperluan terhadap penghapusan dosa pada hari ini amat meruncing dalam kehidupan kita. Maka, suatu usaha bagi menghapuskan dosa amat bermakna lantaran banyaknya dugaan akhir zaman sehingga setiap hari kita sentiasa dikunjungi dosa. Maka dengan cara menyatukan manusia akan dapat meringankan beban dosa yang sedia ada pada diri kita dan dapat mengukuhkan lagi jambatan perpaduan sesama insan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Barang siapa yang khuatir akan ketidakadilan terhadap wasiat, lalu ia mendamaikan manusia, maka keampunan adalah miliknya.” (QS al-Baqarah: 182)

Sumber: Website Universiti Teknologi Malaysia (people@utm) dan Berita Harian “Mendamaikan dua pihak bertelagah tutup pintu fitnah” (9 Jun 2015)