Malaysia secara umumnya mengamalkan dua sistem perundangan iaitu undang-undang peringkat Persekutuan yang terletak di bawah kuasa Parlimen untuk menggubalnya dan perundangan negeri yang tertakluk di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN). Penetapan yang dibuat oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara mempunyai tiga senarai perundangan utama iaitu Senarai I (Senarai Persekutuan), Senarai II (Senarai Negeri) dan Senarai III (Senarai Bersama).
Dalam hal ehwal Islam, penting untuk dinyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang menurut penentuan hukum syarak. Butiran ini juga kekuatan bagi kedudukan hukum syarak dalam penggubalan undang-undang. Namun begitu, sekiranya berlaku percanggahan antara undang-undang Persekutuan dan negeri, maka undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang negeri.
Kukuhnya perundangan Malaysia kadang-kala cuba dicabar rakyatnya dengan ‘memainkan’ dan ‘memusingkan’ akta mahupun seksyen terutamanya berkaitan agama Islam demi kepentingan tertentu. Contohnya, kes Nik Elin yang ingin membatalkan 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019, kes Iki Putra yang mencabar Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 tidak mempunyai kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat dan sebagainya.
Perundangan Islam diimplikasikan sebagaimana di setiap negeri bukanlah tujuan sebenarnya untuk menghukum semata-mata, tetapi untuk mengembalikan semula umatnya pada jalan kebenaran dan memberi pengajaran kepada diri sendiri dan masyarakat Islamyang lain. Hukuman takzir yang dijalankan di Malaysia iaitu ketetapan hukuman oleh pemerintah adalah seringan-ringan hukuman kepada umat Islam yang melakukan kesalahan jenayah Islam, bukanlah hudud yang diimplikasikan. Sebagai umat Islamdi Malaysia seharusnya lebih prihatin dan menyokong peruntukan perundangan Islam, bukanlah mencari kelompongan undang-undang untuk menyelamatkan diri. Mempertikaikan perundangan Islam adalah memalukan, menjatuhkan martabat Islam dan akhirnya musuh Islam bersorak kegembiraan atas konflik yang berlaku sesama umat Islam.
Sumber: Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia