Seruan Nabi Muhammad SAW supaya beriman kepada Allah SWT telah menyelamatkan umat manusia dari terus hanyut dalam kesesatan dan penyelewengan. Hanya dengan keimanan kepada Allah menjadikan manusia sebagai umat terbaik iaitu mengamalkan sifat pertengahan, tidak terlalu ekstrem atau longgar dalam kehidupan beragama.
Namun, sudah menjadi tabiat manusia semenjak berzaman, mudah terjerumus di dalam kesesatan dan penyelewengan walaupun setelah menerima penjelasan dan keterangan tentang akidah Islam. Sebagaimana dalam Surah al-Isra’, ayat 41, maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktikad dan tauhid dengan pelbagai cara di dalam al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang pelbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.”
Sifat melampau yang disebabkan oleh kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama telah menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia. Justeru itu, berpeganglah kepada manhaj akidah yang sahih iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ia merupakan jalan yang betul, selamat, jelas dan tiada kekeliruan bersandarkan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)