“Tak nak bersahur, malas!”, “Kalau tak sahur pun, puasa tetap sah jugak”. Itu antara alasan – alasan yang diberikan oleh sebilangan kita apabila merasa malas untuk bangun bersahur. Perlu diketahui, sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi. Sabda Rasulullah SAW bersabda:
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur.” (HR Muslim).
Kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah SWT dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukaiNya pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi SAW termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah SWT, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (HR Bukhari dan Muslim).
Mengantuk, letih dan penat bukan alasan untuk tidak bangun bersahur kerana ia dapat membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan. Bersahur pula hendaklah dilewatkan dan menghampiri waktu fajar. Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan, mengakhirkan sahur termasuk juga amalan sunnah, malah ia bermanfaat untuk memendekkan waktu lapar dan menahan diri daripada perkara ditegah ketika berpuasa. Firman Allah SWT:
“dan makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar…” (QS al – Baqarah: 187).
Jelas kelebihan bersahur dapat melatih kita untuk mengerjakan solat sunat tahajjud. Kesempatan untuk bangun sebelum waktu Subuh di luar Ramadan jarang berlaku. Dengan bersahur, maka kita dapat menggunakan waktu yang singkat itu dengan efektif selain dapat mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat Tahajjud.
Maka dari itu, ambillah keberkatan bulan Ramadan ini dengan bersahur seperti mana sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. Apabila bersahur, badan menjadi cergas dan tidak lesu, malah urusan ibadah kita juga menjadi lancar dan sempurna.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Umatku terus berada dalam kebaikan, selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.” (HR Ahmad).
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis