Pembangunan era globalisasi menyebabkan nilai-nilai Barat yang masuk tidak dapat dibendung dan kesannya terhakis kepercayaan agama dan menjejaskan benteng kerohanian manusia yang akhirnya mempengaruhi matlamat hidup hanya melihat kepada dunia semata-semata. Rentetan itu, masyarakat akan terdorong mengetepikan soal haram dan halal, bahkan sanggup mengenepikan agama. Begitu juga dengan tanggapan yang menyatakan bahawa golongan yang memeluk Islam mereka itu kembali ke zaman manusia kuno Badwi.
Hal ini adalah satu tanggapan yang salah kerana selama ini Islam tidak menjadi batu penghalang kemajuan dan tamadun. Begitu juga dengan pengaruh kemasukan nilai-nilai Barat menyebabkan timbul gaya hidup yang mengenepikan kehidupan beragama. Akhirnya, gejala pertukaran agama atau murtad dilihat sebagai satu fenomena yang sangat membimbangkan di negara ini.
Sedarlah wahai umat Islam bahawa murtad merupakan dosa terbesar yang dilakukan oleh seorang Muslim. Dosa yang dilakukannya itu telah menghilangkan identitinya sebagai seorang Islam dan bertukar menjadi seorang yang kafir. Dosa yang dilakukannya itu adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa, ayat 48, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu (syirik), bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang sangat besar”
Sumber: Jurnal Teknologi, Social Sciences, vol. 59 – Universiti Teknologi Malaysia