Home Kemanusiaan/Motivasi APAKAH HUKUM MERENJIS DAN MEMBILAS KENDERAAN DENGAN AIR RUQYAH?

APAKAH HUKUM MERENJIS DAN MEMBILAS KENDERAAN DENGAN AIR RUQYAH?

136
0

Baru – baru ini heboh di mana sebuah video yang dimuat naik di laman sosial memperlihatkan tindakan seorang ulama dari Pattani, Thailand yang merenjis sebuah kereta menggunakan air ruqyah dengan alasan untuk membersihkan kereta tersebut daripada sebarang “kekotoran” yang tidak dapat dilihat. Hal ini menimbulkan polemik dalam kalangan warganet. Ada yang beranggapan bahawa amalan yang dilakukan itu adalah suatu yang bertentangan dengan agama Islam.

Bagi menjawab isu tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman webnya telah mengeluarkan kenyataan pada 30 April 2024 menerusi Al – Kafi #1984: “PANDANGAN BERKAITAN ISU MERENJIS ATAU MEMBILAS KENDERAAN DENGAN AIR RUQYAH” menyatakan perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak. Ia merupakan satu cara yang untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan oleh para ulama.

Hujah berkenaan Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh mereka itu terus menjadi haram. Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus. Jadi, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat.

Dalam sebarang perkara yang berkaitan dengan kegunaan kepada diri, kita sebagai umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjadi diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diinginkan seperti kecurian, kemalangan dan daripada penyakit seperti penyakit ‘ain dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW:

“Penyakit al-‘Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi.” (HR Muslim).

Oleh itu, salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW, ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi’. Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya.

Justeru, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibacakan dengan zikir dan doa ruqyah bukanlah suatu perkara yang khurafat. Bahkan ia adalah salah satu cara yang dibenarkan oleh syarak kerana tiada dalil yang melarangnya. Oleh yang demikian, tindakan tersebut harus untuk dilakukan dengan tujuan menjaga sesuatu barang atau kenderaan daripada penyakit al-‘ain dan musibah seumpamanya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan