Jumaat lepas telah berlangsungnya sebuah festival muzik yang dinamakan sebagai ‘Good Vibe Festival’ yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. Namun, acara tiga hari yang bermula pada 21 Julai dan sepatutnya berakhir semalam dibatalkan serta – merta dek kerana dicemari dengan insiden kontroversi dari sebuah band ternama Britain yang digelar 1975.
Insiden tersebut bermula apabila vokalis band berkenaan secara biadapnya mengkritik dan menghentam Kerajaan Malaysia berkenaan dengan pelaksanaan undang – undang terhadap pengamal LGBT dan Liberalism sebelum melakukan aksi melampau bercumbuan sesama sejenis di atas pentas. Ini sesuatu yang keterlaluan dan tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia apatah lagi agama rasmi di negara ini adalah Islam yang secara keras menentang amalan tersebut.
Nampaknya semakin banyak jarum – jarum halus Liberalism dan Sekularism cuba untuk menyusup ke dalam pemikiran belia pada hari ini, sesuatu yang membimbangkan dan dikhuatiri ini boleh mengubah jati diri belia untuk hidup dengan bebas tanpa adanya batasan dan tidak memikirkan soal hukum – hakam agama. Dalam hal pelaksanaan sesuatu hiburan ini, sewajarnya perlu lebih diperhalusi oleh pihak penganjur agar selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan dan pihak berwajib.
Wahai umat Islam, hal ini bukanlah sesuatu untuk dikompromikan. Tiada tempat buat pengamal LGBT yang biadap seperti band 1975 di negara ini! Perkuatkan saf dan ukhuwah kita dalam memelihara martabat agama Islam dan negara ini dari dicemari dengan insiden – insiden yang boleh mengundang fitnah. Cegah sebelum terlambat. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah lemah iman.” (HR Muslim).
Sumber: Portal Interaktif e – Dakwah JAKIM