Home Kemanusiaan/Motivasi BUATLAH AMAL JARIAH DENGAN IKHLAS JANGAN SAMPAI SEDEKAH JADI SAMPAH!

BUATLAH AMAL JARIAH DENGAN IKHLAS JANGAN SAMPAI SEDEKAH JADI SAMPAH!

98
0

Dalam satu laporan akhbar tempatan yang diterbitkan pada 18 Jun 2024 yang bertajuk “SINI BUKAN TEMPAT BUANG MAKANAN”, kita dapat melihat masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bermurah hati untuk melakukan amal jariah dengan menderma makanan di pusat – pusat pengajian tahfiz, rumah anak – anak yatim dan juga pusat jagaan warga emas. Namun, di sebalik kemurahan hati para penderma, terselit satu sifat negatif mereka iaitu tidak ikhlas.

Manakan tidak, seperti luahan para pentadbir pusat – pusat tahfiz, rumah anak – anak yatim dan pusat jagaan warga emas, mereka menerima makanan tetapi kebanyakannya sisa dan hampir basi. Bahkan para penderma cuma datang dan meletakkan sahaja makanan yang ingin disedekahkan itu lalu berlalu pergi. Hinggakan ianya menjadi lambakan makanan dan terpaksa dibuang lantaran ada sebahagiannya yang mula busuk.

Tahukah kita bahawa Allah SWT sangat memuliakan orang yang bersedekah? Malah Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan dan balasan kepada mereka yang suka memberi (bersedekah). Rasulullah SAW bersabda:

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (HR Bukhari).

Bukan itu sahaja, dengan bersedekah juga akan dapat menghapuskan dosa dengan disertai taubat atas dosa yang dilakukan, seperti mana sabda Rasulullah SAW:

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR At – Tirmidzi).

Akan tetapi, sekiranya perkara ini berlaku perkara seperti ini, di mana datang ikhlasnya? Di mana datang penghapusan dosanya? Malah kita lebih berdosa kerana membuat penganiayaan ke atas penerima sedekah kita. Tidak sedarkah kita makanan yang diberikan itu hampir rosak dan mungkin mengakibatkan keracunan makanan kepada sesiapa yang memakannya?

Oleh itu, beramal jariah lah dengan seikhlas hati. Jangan buat asal boleh konon untuk mengelakkan pembaziran. Sedangkan sebenarnya kita sudah pun dikira membazir dengan membuang makanan yang tidak lagi boleh di makan ke tempat yang tidak sepatutnya. Jangan ghairah ingin bersedekah, tetapi sedekah itu menjadi sampah!

Sumber: Laporan Harian Metro , 18 Jun 2024 & Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)