Home Ajaran Sesat JALAN PINTAS KE SYURGA UMPANAN YANG MENYESATKAN UMAT ISLAM KE ARAH EKSTREMISME

JALAN PINTAS KE SYURGA UMPANAN YANG MENYESATKAN UMAT ISLAM KE ARAH EKSTREMISME

181
0

Mahu mencari makna kehidupan sebenar, ingin menebus dosa besar dan jalan pintas ke syurga menjadi faktor pendorong seseorang itu terjerumus dalam ajaran sesat serta radikal. Menurut pakar deradikalisasi, Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam, kebanyakan individu yang terjerumus dalam ajaran sesat serta radikal ini mempunyai motif untuk mengubah kehidupan mereka dan mencari jalan mudah untuk ke syurga.

Inilah motif utama mereka. Apabila bertemu pula dengan ‘guru’ yang salah, mereka menjadi mangsa ideologi apabila ditanam dengan takrifan agama yang jauh menyimpang. Kononnya ingin menyucikan dosa, namun tersalah langkah apabila mengikuti kumpulan atau ajaran yang menyeleweng serta bersifat radikal. Golongan seperti ini mudah melabelkan golongan tidak sealiran dengan mereka sebagai sesat, mengkafirkan dan sebagainya.

Selari dengan ‘piramid ekstremisme’, setiap kumpulan ajaran sesat serta radikal mempunyai asas kepada piramid tersebut. Berdasarkan konsep ini, pada mulanya ‘individu bersimpati’ terhadap sesebuah perjuangan atau ajaran, namun masih tidak membabitkan keganasan secara fizikal. Kemudian, apabila mereka terus mengikuti sesebuah ajaran, mereka akan menjadi ‘pendokong’ atau ‘aktivis’ ajaran. Tahap ketiga adalah ‘ekstremis’. Bagi tahap ini, individu terbabit akan menjadi pendokong kuat sesebuah ajaran dan bermulanya kepada tindakan melabel-labelkan orang lain yang tidak sealiran dengannya.

Golongan seperti ini akan menjadi radikal dengan melakukan serangan secara lisan terhadap sesiapa yang menentang ajaran yang dianuti. Sekiranya perkara ini tidak ditangani sejak awal, dikhuatiri dari serangan secara lisan, kelak akan bertukar menjadi lebih ganas. Justeru itu, umat Islam dinasihatkan supaya berguru dan mendalami ilmu agama menerusi pendakwah yang memegang tauliah mengajar adalah lebih baik bagi mengelakkan ‘tersalah langkah’ menuju kesesatan dan ekstremisme.

Sumber: Skuad Khas Harian Metro